MBJB peruntuk RM69 juta bina, naik taraf venue Sukma 2020

Adib Azhari (tengah) menyerahkan dokumen MoU kepada Razimi selepas menandatangani MoU antara MBJB, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan di Bangunan MBJB, Johor Baharu, hari ini.
Adib Azhari (tengah) menyerahkan dokumen MoU kepada Razimi selepas menandatangani MoU antara MBJB, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan di Bangunan MBJB, Johor Baharu, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM69 juta untuk membina kemudahan baharu dan menaik taraf venue Sukan Malaysia Johor (Sukma 2020) pada Mac tahun depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, MBJB membina gelanggang baharu untuk latihan sukan petanque di Taman Tampoi Indah, menaik taraf Stadium Hoki Taman Daya dan Dewan Serbaguna Johor Jaya bagi sukan wushu.

"Ketiga-tiga projek ini telah menggunakan peruntukan sebanyak RM8.2 juta. MBJB juga mengeluarkan kos RM50 juta bagi tujuan pembinaan Stadium Tertutup MBJB dan juga Pusat Akuatik MBJB.

"Sebanyak 12 venue untuk Sukma 2020 berada dalam kawasan MBJB," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan-5 Tahun 2020 di Dewan Inai, Bangunan MBJB di sini hari ini.

Adib Azhari kemudian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBJB, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Johor bagi mewujudkan kerjasama strategik perkongsian pintar sistem tunda kenderaan (My VIS).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad mewakili polis manakala Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan mewakili JPJ Johor.

Sukma ke-20 sepatutnya diadakan pada 11 hingga 19 Julai lalu, namun ditunda akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ke satu tarikh baharu yang akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dijadualkan Oktober ini.

Menurut Adib Azhari, MBJB turut menjalankan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sekitar lokasi venue melibatkan 12 projek di enam lokasi yang melibatkan kos sebanyak RM11.15 juta.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, lokasi itu melibatkan sekitar Stadium Hoki Taman Daya, Kompleks Daiman Bowl dan Dewan Serbaguna Johor Jaya, Stadium Tertutup MBJB, Dewan Cahaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas serta Gelanggang Petangue Taman Tampoi Utama.

Selain itu, beliau berkata, bagi kerja-kerja pengindahan dan landskap, MBJB akan menjalankan projek naik taraf di sembilan buah lokasi sekitar bandar raya ini yang melibatkan kos RM14 juta.

"Meskipun urusan persiapan tergendala buat sementara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, rata-rata kerja-kerja persiapan kini berada di landasan sepatutnya untuk disiapkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan," katanya.

Tambahnya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang melawat venue Sukma 2020 pada awal bulan ini berpuas hati dengan persiapan dan persediaan dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!