Penghantar piza terkejut dapat tip RM425
NASHVILLE - Sama ada beliau seorang pemurah atau terlalu berpuas hati dengan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumahnya, seorang lelaki di daerah Sumner, negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) sanggup mengeluarkan tip sebanyak AS$100 (RM425).
Menurut portal berita Fox News 17 pada 20 Julai lalu, lelaki itu, Doug Barlow sanggup memberikan tip sebanyak AS$100 (RM425) kepada seorang penghantar makanan yang menghantar piza ke rumahnya.
Dia berbuat demikian kerana mahu melakukan sesuatu yang istimewa kepada sesiapa yang menghantar piza ke kediamannya ketika negara itu masih dibelenggu Covid-19.
Imej rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah Barlow menunjukkan penghantar makanan itu William Felks meletakkan piza tersebut yang berharga kurang daripada AS$30 (RM127) dan mengambil sepucuk sampul surat di depan pintu rumah Barlow.
Dia kemudian berjalan kaki ke keretanya sebelum menyedari telah mendapat wang dalam jumlah yang besar dan nota ucapan terima kasih.
Berdasarkan rakaman CCTV, Felks dilihat merenung rumah itu selepas dia membuka sampul surat tersebut yang mengandungi wang dan nota tersebut.
Menurut Barlow, penghantar makanan tersebut kemudian mengubunginya melalui panggilan telefon bagi mengucapkan terima kasih kerana memberikan wang tip tersebut.
"Sebab utama saya melakukannya adalah kerana saya mahu melakukan sesuatu yang baik untuk seseorang kerana terdapat seseorang yang lain telah melakukan kebaikan untuk anda," ujarnya.
Barlow yang bekerja memperbaiki peralatan elektronik berkata, dia berasa gembira apabila melihat reaksi Felks selepas menerima wang itu menerusi CCTV. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!