Rezeki Khalid ditawar jurulatih AMD
SEDIA berkorban dan tidak bersikap memilih menjadi dua aspek penting bagi seorang jurulatih bola sepak jika mahu berjaya dalam karier.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, kedua-dua kriteria itu bukanlah perkara mudah untuk dilaksanakan, namun ia perlu dilalui oleh sesiapa sahaja yang bercita-cita menjadi seorang jurulatih.
“Itulah pengorbanan seorang jurulatih. Kalau nak naik sebagai jurulatih kita tidak boleh memilih, sama ada keluarga yang berkorban atau kita sendiri yang berkorban, senang saja ceritanya.
“Memang bukan mudah tetapi orang kena faham. Seperkara lagi satu saya nak beritahu, jurulatih muda (baharu) yang biasanya bekas pemain kebangsaan, bekas pemain negeri, mereka ingat gaji yang mereka dapat sebagai jurulatih sama seperti ketika mereka bergelar pemain.
“Sebenarnya tidak kerana gaji yang besar-besar itu hanyalah bagi jurulatih yang berpengalaman sahaja. Kepada yang baru bergelar jurulatih, jangan harap dapat gaji seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sathianathan berkata demikian ketika diminta mengulas isu bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus yang dikatakan masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran selaku jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang atau mencari pasukan di sekitar Lembah Klang.
Ketika sesi bertemu peminat di Country Heights, Kajang Sabtu lalu, Khalid memaklumkan bahawa dia telah dihubungi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk ditawarkan jawatan selaku jurulatih skuad elit AMD.
Namun, pemenang Kasut Emas 2002 itu mengakui berbelah bahagi kerana jika menerima tawaran tersebut kerana dia terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Lembah Klang.
“Ramai yang memohon berkhidmat di AMD tetapi tak berpeluang. Setahu saya, Khalid ada Lesen Kejurulatihan B. Mungkin rezeki dia kerana bukan mudah untuk dapat slot selaku jurulatih di tempat elit seperti AMD,” jelas Sathianathan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!