Cuaca panas jejas jentera Hafizh Syahrin

Tiga pelumba Itali menyapu bersih kedudukan pertama sehingga ketiga pada perlumbaan melibatkan 23 pusingan itu. - Foto FB Aspar Team
Tiga pelumba Itali menyapu bersih kedudukan pertama sehingga ketiga pada perlumbaan melibatkan 23 pusingan itu. - Foto FB Aspar Team
A
A
A

CUACA panas melampau sehingga mencecah 38 darjah celcius di Litar Jerez, Sepanyol memberi kesan kepada jentera pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang gagal menamatkan perlumbaan pada Grand Prix Andalusia hari ini.

Pelumba Openbank Aspar Team Moto2 itu yang memulakan perlumbaan di petak kesembilan, bergelut dengan masalah tayar dan jentera susulan suhu panas sekali gus gagal menamatkan perlumbaan sewaktu memasuki pusingan ke-11.

“Perlumbaan hari ini agak sukar untuk kesemua pelumba kerana litar agak panas jika dibandingkan dengan litar lain dalam Kejuaraan MotoGP pada musim ini.

“Apapun, pada perlumbaan hari ini saya cuba mengejar kelompok 10 pelumba teratas tapi saya ada masalah sama dengan pelumba (Beta Tools Speed Up) Jorge Navarro dari Sepanyol kerana suhu litar agak panas dan tiba-tiba suhu tayar daripada 75 darjah celcius menjadi 93 darjah celcius, dan suhu jentera naik 10 darjah celcius,” katanya dalam rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Tiga pelumba Itali menyapu bersih kedudukan pertama sehingga ketiga pada perlumbaan melibatkan 23 pusingan itu.

Enea Bastianini dari Italtrans Racing Team meraih kedudukan podium buat kali kedua selepas saingan GP Qatar pada Mac lalu menerusi catatan masa 39 minit 23.922 saat disusuli dua pelumba pasukan SKY Racing Team VR46 iaitu Luca Marini dan Marco Bezzecchi yang ketinggalan dengan catatan masa 2.153 saat dan 3.243 saat di belakang Bastianini.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Danial Kasmayuddin yang mewakili Onexox TKKR SAG Team turut gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan ke-20 akibat masalah jentera.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!