Berselindung di sebalik rumah burung layang-layang
TANJUNG SEPAT - Kegiatan mencurigakan sekumpulan lelaki di rumah burung layang-layang membawa rampasan ratusan karton rokok kretek seludup bernilai lebih RM60,000.
Pembongkaran itu dibuat Pasukan Polis Marin (PPM) di Tanjung Layang, di sini, semalam, menerusi Ops Landai Khas.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, operasi kira-kira jam 11.30 pagi mendapati sekumpulan lelaki sedang memikul barang di belakang rumah burung layang-layang di kawasan ladang kelapa sawit.
"Setelah menyedari kehadiran PPM, mereka telah melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit dan berjaya meloloskan diri.
"Pemeriksaan lanjut dibuat menjumpai bungkusan guni mengandungi rokok kretek tidak bercukai yang disembunyikan di belakang rumah burung tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dianggarkan terdapat 360 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM65,936.
Dalam pada itu, Khairuddin mendedahkan, rumah burung terbabit dijadikan stor simpanan rokok yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran sebelum dipasarkan di dalam negara.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Dalam kes berlainan, PPM menahan seorang lelaki tempatan di laut Kuala Selangor, kira-kira jam 7 pagi, semalam, ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
"Sebuah bot pukat tunda kelas B dianggar bernilai RM120,000 telah dirampas. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan kerana melanggar syarat-syarat dalam lesen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!