Ummah Pahang selar kenyataan Mat Sabu
KUANTAN - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Pahang menyelar kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yang menyamakan pelarian dengan penghijrahan Rasulullah SAW.
Pengerusinya, Roslan Md Esa berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu dianggap biadab dan merendahkan peristiwa agung penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah.
Menurutnya, Rasulullah SAW bukan pelarian sebaliknya baginda berhijrah demi kedaulatan Islam.
"Bertitik tolak dari peristiwa hijrah baginda itu, Islam telah tersebar ke seluruh pelosok dunia.
"Hijrah baginda demi syariat Islam dan bukannya peristiwa pelarian sebagaimana yang berlaku hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Roslan berkata, bukanlah perkara yang terlalu sukar untuk membezakan antara pelarian dan penghijrahan Rasulullah SAW.
"Walaupun beliau (Mohamad Sabu) cuba menyuarakan pembelaan terhadap pelarian tetapi kenyataannya itu telah mencemarkan kemuliaan peristiwa agung ini.
"Berhemahlah dalam bertutur. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata parah padahnya," katanya.
Justeru katanya, Ummah Pahang meminta Mohamad Sabu menarik balik kenyataan kenyataan tersebut yang telah mencemarkan kemuliaan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sekaligus merendah kewibawaan baginda selain mengelirukan sidang dewan dan rakyat amnya.
Sebelum ini, ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, Mohamad Sabu mengingatkan bahawa tokoh penting dalam Islam juga pernah menjadi pelarian termasuk Nabi Muhammad SAW.
“Jangan kita lupa sejarah. Jangan kita anggap kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian, khasnya Nabi Muhammad yang menjadi pelarian atau berhijrah dari Makkah ke Madinah,” katanya.
Kenyataan itu dibantah Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas) Ahmad Fadhli Shaari yang menggesa Mohamad Sabu menarik balik kenyataan berkenaan yang disifatkan suatu kesimpulan mengelirukan dewan dan Islam itu sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!