Mahkamah Tinggi kekalkan keputusan MyCC terhadap MyEG
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap MY E.G. Services Bhd dan MYEG Commerce Sdn Bhd (disebut bersama sebagai MyEG) mengikut Seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010 kerana penyalahgunaan kedudukan dominannya.
Semasa menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan MyEG, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi menyatakan persetujuannya dengan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan sekali gus mengesahkan keputusan MyCC bahawa MyEG telah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan syarat berbeza bagi transaksi yang sama berkaitan dengan pembelian insurans untuk memperbaharui Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PLKS) bagi pekerja asing.
“Kesannya, MyEG diperintah membayar denda keseluruhan sebanyak RM9.337 juta bagi pelanggaran itu, yang termasuk penalti RM307,200 dan penalti harian dari 7 Oktober, 2015 hingga 22 Januari, 2019 berjumlah RM9.030 juta.
“Pada masa yang sama MyEG masih dikenakan penalti harian sebanyak RM7,500 sehari sehingga mereka patuh dengan arahan ditetapkan MyCC di dalam keputusannya,” kata MyCC dalam kenyataan ,hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, kes itu adalah bukti komitmen MyCC, tanpa takut dan pilih kasih, untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli oleh sebarang perusahaan di dalam pasaran.
"Kami akan terus menyokong kerajaan di dalam memastikan pasaran bebas daripada sebarang aktiviti monopoli yang memudaratkan atau yang tidak menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!