Aswara komited utamakan kreativiti insan
PORT DICKSON - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) komited untuk menjadi satu-satunya institusi pengajian yang mengutamakan kreativiti dan nilai estatik ke arah melahirkan pemimpin kreatif.
Fokus itu menjadi perbincangan utama dalam Mesyuarat Pemerkasaan Akademik dan Penjenamaan Aswara yang berlangsung pada 24 hingga 26 Julai lalu.
Aswara dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu menunjukkan komitmen dan iltizam Aswara dalam memantapkan penghasilan modul, jenama dan penambahbaikan silibus kurikulum untuk digunapakai pada tahun 2021.
Kenyataan itu menjelaskan, mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa isu dalam usaha membawa pembaharuan kepada Aswara.
"Laporan telah dibentangkan dan dibincangkan mengenai penyelidikan dan pembangunan berhubung pandangan dan persepsi orang awam terhadap Aswara serta kekuatan dan kelemahan Aswara.
"Turut dibincangkan mengenai pembaharuan visi dan misi Aswara. Kesemua yang dibincangkan di mesyuarat ini melibatkan banyak aspek dan masih dalam proses permurnian," kata kenyataan itu hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Pengerusi Aswara, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Rektor Aswara, Profesor Madya Dr Sahar Sa’di Hashim; ahli-ahli Lembaga Aswara, ahli pengajian Aswara serta pengurusan Aswara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!