Filipina mahu penjarakan budak 12 tahun
MANILA - FILIPINA. Kanak-kanak seawal usia 12 tahun boleh dipenjarakan di bawah undang-undang disokong Parlimen Filipina, semalam yang turut dikecam PBB dan pemerhati hak asasi manusia.
Undang-undang yang dicadangkan itu adalah antara langkah yang diambil Presiden Rodrigo Duterte untuk memperluaskan tindakan kerasnya terhadap dadah dan jenayah yang telah menyebabkan ribuan terbunuh sejak kempen itu dilancarkan pada pertengahan 2016.
Pada asalnya, sekutu Duterte telah mencadangkan untuk mengurangkan umur liabiliti jenayah kepada sembilan, namun selepas ia mencetuskan kemarahan Dewan Rakyat, ia telah dinaikkan kepada 12 tahun dan rang undang-undang terbabit diluluskan ketika bacaan kedua.
Difahamkan, umur kanak-kanak yang boleh disabitkan atas kesalahan jenayah di negara itu adalah 15 tahun.
Jika rang undang-undang tersebut diluluskan Senat yang sememangnya menentang keras undang-undang tersebut, Filipina akan menyertai negara seperti Afghanistan yang menghukum kanak-kanak berusia 12 tahun atas kesalahan jenayah.
"Kami berpendapat usia 12 tahun adalah terlalu muda untuk menghukum golongan itu atas kesalahan jenayah," kata aktivis hak asasi manusia, Carlos Conde. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!