Kerajaan ayam curi gamatkan dewan
KUALA LUMPUR - Wakil pembangkang hari ini memberi gelaran baharu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu kerajaan 'ayam curi'.
Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) berkata, ini kerana kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara tanpa mandat rakyat.
"Walaupun proses sempurna dan sah di sisi undang-undang tetapi apa yang (kerajaan) kehilangan (tidak dapat) adalah mandat rakyat.
"Tuan Yang Dipertua kalau mereka pantang digelar kerajaan pintu belakang, mulai saat ini saya akan menggelarkan mereka sebagai kerajaan ayam curi," katanya sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Lih Kang melontarkan persoalan sama ada halal atau tidak untuk dimakan ayam yang disembelih mengikut hukum Islam tetapi ia adalah yang dicuri.
Beliau membuat perumpamaan itu bagi merujuk kerajaan PN yang dibentuk secara sah dari segi undang-undang tetapi tidak mendapat mandat rakyat.
"Saya juga teliti ucapan Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) dan Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan) yang bermati-matian mempertahankan kerajaan ini mengatakan kerajaan ini bukan kerajaan pintu belakang.
"Jadi, saya hendak tanya pandangan menteri agama, apakah ini adalah satu tafsiran yang betul?" Katanya.
Bagaimanapun pendapat itu disanggah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mendakwa kenyataan Lih Kang boleh mengelirukan dewan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!