KPKT sasar pertambahan anggota, pegawai bomba wanita
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat mempertingkatkan pengambilan anggota dan pegawai wanita dari semasa ke semasa secara berperingkat.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini JBPM mempunyai seramai 643 anggota wanita iaitu hampir lima peratus daripada keseluruhan 14,4000 anggota di seluruh negara.
Sehubungan itu menurutnya, beliau telah meminta JBPM mengambil beberapa inisiatif menambah bilangan anggota wanita dengan meneliti syarat kelayakan dan ujian lasak yang bersesuaian.
“Saya juga minta pengambilan khusus untuk wanita bagi menarik perhatian golongan ini hadir untuk program rekrut.
“Sekarang ada lebih 1,000 kekosongan dan kalau diisi sepenuhnya untuk wanita pun tidak cukup 30 peratus.
“Kita akan cuba pertingkatkan mungkin dari lima ke 10 peratus dahulu dan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS - Batang Lupar) mengenai inisiatif kementerian bagi menambah bilangan anggota bomba wanita khusus di kalangan pegawai.
Mengulas lanjut Zuraida berkata, meskipun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat kelayakan pengambilan anggota baharu namun seramai 44 rekrut pada tahun lepas adalah pemegang ijazah.
“Ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia berkelayakan lebih tinggi berminat dalam bomba,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!