Peguam Najib mohon kemuka rayuan ringan hukuman Isnin ini
KUALA LUMPUR - Meskipun Mahkamah Tinggi di sini hanya akan mengumumkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Isnin ini, pasukan pembelaan sudah bersiap sedia untuk membuat rayuan agar Ahli Parlimen Pekan itu diberi hukuman ringan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya akan membuat hujah lisan terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan minggu depan.
Bagi tujuan itu katanya, pasukan pembelaan memohon sedikit masa selama beberapa hari.
“Kami akan memanggil seorang atau dua saksi untuk menyokong rayuan berkenaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan
Bagaimanapun setakat tengah hari tadi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali belum memutuskan sama ada mahu mendengar atau menolak hujahan itu.
Mohd Nazlan berkata, pihak pembelaan diberi masa sehingga tamat makan tengah hari ini untuk meyakinkan mahkamah berhubung permohonan rayuan berkenaan.
Tengah hari tadi, Najib, 67, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Dalam prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!