Polis akan ambil tindakan jika penyokong Najib ingkar SOP

Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca
Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun RM1,000 sekiranya penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berada di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, dianggarkan jumlah orang awam yang hadir sekitar 600 hingga 700 orang dan jumlah itu bagaimanapun dilihat semakin berkurangan kemungkinan atas faktor cuaca.

Menurutnya, pihaknya mendapati penyokong Najib mula berarak dari Masjid Wilayah dalam jumlah yang ramai.

"Susulan itu kita telah buat beberapa siri hebahan agar mereka patuh SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari segi penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Awalnya mereka tidak mengendahkan arahan polis, tapi selepas berulang arahan diberikan, mereka mula patuh. Setakat ini keadaan di sini terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, namun, sekiranya masih ada yang berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

Selain itu, katanya, seramai 200 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terlibat dalam mengawal keadaan di sekitar kompleks mahkamah.

Jelasnya, sebanyak dua sekatan jalan raya juga telah dilaksanakan di laluan masuk mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Kita nasihatkan agar semua pihak menjaga SOP ini walaupun selepas Najib keluar dari mahkamah. Kita tidak mahu wujud kluster baharu di sini (mahkamah).

"Kita juga tidak mahu ambil tindakan drastik kerana tidak mahu dilihat sebagai pencetus provokasi sebab itu kita amal nasihat tetapi tegas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!