Yakin Muhyiddin tak akan sertai UMNO
ISKANDAR PUTERI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan menyertai UMNO walaupun akan ditawarkan sebagai presiden parti tersebut.
Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, ini kerana Presiden Bersatu itu merupakan seorang yang amat berpegang kepada prinsip dan tidak akan membuat pusingan U setelah dipecat daripada UMNO sebelum ini.
"Takde (Tan Sri Muhyiddin tidak akan sertai UMNO) dan tidak mungkin, itu UMNO yang tawarkan kepada Muhyiddin dan bukan kenyataan yang keluar daripada mulut beliau sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Ubah keputusan pecat Muhyiddin
Jalan terbaik untuk politik Melayu
"Saya tidak fikir Muhyiddin akan pergi (menyertai UMNO)," katanya ditemui Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan turut dihadiri Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempelawa Muhyiddin untuk kembali kepada UMNO bagi mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu, semua ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dan menerimanya kembali.
Susulan itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO sedia menerima kehadiran semula Muhyiddin jika berhasrat menyertai parti itu dan boleh mengubah semula keputusan pemecatan beliau daripada parti itu pada 2016.
Kelmarin Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, Majlis Tertinggi UMNO tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung Muhyiddin hendak kembali ke dalam parti itu setakat ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Bersatu Johor yakin Muhyiddin tidak akan berpatah balik kepada UMNO walau apa juga keadaan dan buktinya boleh dilihat dalam video-video ceramah beliau sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya amat memahami pendirian Muhyiddin dan perkara tersebut juga tidak pernah dibincangkan dalam Bersatu Johor.
"Kita ikut dan tengok perkembangan politik. Politik ni kita tidak boleh buat kenyataan apa-apa selagi belum ada realiti, kita kena ikut perkembangan semasa dan kita kena bersangka baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!