KPPK sasar tingkat eksport sawit ke Turki
KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan pertambahan 300,000 tan metrik eksport minyak sawit diproses menerusi Turki untuk menembusi pasaran Greece dan negara-negara Balkan.
Timbalan Menteri Willie Mongin berkata, ini sekali gus menjadikan Turki sebagai hub eksport di pasaran tersebut.
Menurutnya, ini susulan usaha KPPK melakukan pelbagai promosi menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke luar negara.
“Aktiviti promosi ini juga turut melibatkan kerjasama pejabat kedutaan Malaysia di Eropah khususnya yang melibatkan perhubungan antara kerajaan dengan kerajaan selain pembabitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam aspek pemasaran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (PN-Gerik) berhubung usaha KPPK meningkatkan harga dan pasaran eksport minyak sawit serta jangkaan eksport sawit Malaysia ke Turki.
Selain itu, Mongin berkata, kerajaan turut berdepan beberapa cabaran utama untuk menstabilkan harga komoditi sawit dan getah di pasaran yang bergantung kepada pelbagai faktor.
"Ini termasuk senario pasaran harga di peringkat global yang turut dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi, permintaan, penawaran dan stok.
“Penularan pandemik koronavirus (Covid-19) juga telah sedikit sebanyak menjejaskan permintaan terhadap keluaran sektor agrikomoditi yang turut menyebabkan harga jatuh,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, antara langkah diambil KPPK bagi menstabilkan harga sawit dan getah adalah memberi pengecualian duti eksport minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit diproses sehingga hujung tahun ini.
Menurutnya, selain itu KPPK turut meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum menerusi Program Biodiesel B20 (adunan 20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus diesel petroleum) bagi membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah domestik.
“Pelaksanaan program ini dijangka membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik kepada 1.06 juta tan berbanding B10 sebanyak 534,000 tan setahun.
“Peningkatan penggunaan ini akan merancakkan lagi permintaan dan seterusnya memberi impak positif terhadap industri sawit negara,” katanya.
Katanya, langkah lain yang diambil KPKK adalah dengan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia selain meninjau pasaran baharu yang berpotensi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!