Malaysia mahu kerjasama AKTC pelihara tapak warisan

No Image Caption
A
A
A

NEW DELHI - Malaysia berhasrat menggunakan kepakaran pemuliharaan arkeologi Aga Khan Trust for Culture (AKTC) dalam usaha untuk memelihara tapak warisan negara, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Muhammad Bakhtiar berkata, beliau kagum dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh organisasi berkenaan di Hyderabad dan Delhi.

"Kita melihat model yang mereka gunakan dalam kerja-kerja pemuliharaan. Mungkin, kita akan menjemput mereka untuk membantu kita memulihkan tapak Unesco kita," kata Bakhtiar kepada Bernama.

Beliau berkata, Malaysia mungkin menggunakan kepakaran AKTC di Lembah Bujang, kompleks bersejarah di Kedah, serta beberapa monumen bersejarah negara.

Muhammad Bakhtiar bertemu pegawai AKTC semasa lawatannya ke India baru-baru ini bagi mengetahui lebih lanjut mengenai projek pemuliharaan mereka.

Kerja-kerja AKTC di India termasuk projek pemuliharaan Makam Humayun, antara tarikan pelancong di Delhi, dan kompleks Makam Quli Qutb Shah yang terkenal di Hyderabad.

Menurut laman webnya, AKTC memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal, sosial, budaya dan ekonomi masyarakat di dunia yang sedang membangun.

Sebelum ini, Muhammad Bakhtiar melawat tapak pemuliharaan AKTC di Hyderabad dan Delhi semasa lawatan kerjanya ke India pada Disember.

Artikel Berkaitan:

“Mereka amat teliti dalam kerja-kerja mereka. Kami masih berbincang cara untuk melibatkan mereka (dalam pemuliharaan warisan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga merancang untuk mempromosikan tapak budaya dan sejarah negara untuk menarik pelancong.

“Pelancongan budaya adalah antara keutamaan kita. Kita sedang meneliti untuk memulihkan beberapa tapak arkeologi negara, memeilihara tempat-tempat warisan serta membangunkan musium dan galeri,” katanya.

Gua Mulu di Borneo, Lembah Lenggong di Perak, Lembah Bujang dan Taman Kinabalu adalah antara tarikan yang Malaysia harap dapat dipromosikan lagi kepada pelancong asing.

"Kita perlu meningkatkan usaha mempromosikan tapak UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan mempamerkan warisan kita kepada dunia," katanya sambil menambah bahawa Malaysia menyasarkan 30 juta pelancong pada tahun 2020. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!