Bekalan makanan Aidiladha mencukupi

Rasol
Rasol
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan utama termasuk ayam mencukupi bagi memenuhi keperluan menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pengguna tidak perlu bimbang dan panik dalam membuat persediaan selain harga ayam lebih stabil berbanding beberapa bulan lalu hingga mencecah RM9 sekilogram kepada sekitar RM5.90 seekor.

"Kita lihat dari segi keperluan ia mencukupi dan menepati kawalan harga seperti disarankan dan dimaklumkan harga ayam yang kini telah mencapai objektif apabila turun dari RM9 sekilogram kepada RM5.90 seperti di Terengganu dan beberapa tempat lain.

"Pegawai penguat kuasa kita seramai 2,300 juga akan turun melakukan penguatkuasaan dan pemeriksaan harga sepanjang musim perayaan ini," katanya ketika sidang media selepas Majlis Protokol Tamat Latihan dan Amanat Pegawai Kadet KP41 di Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kementeriannya juga bersiap siaga dalam berdepan gelombang ketiga pandemik Koronavirus (Covid-19) termasuk memastikan barangan keperluan mencukupi seperti pelitup muka,cecair pembasmi kuman dan sebagainya.

Bagaimanapun menurutnya, beliau berharap gelombang itu tidak berlaku namun pengalaman ketika berdepan situasi sama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kelebihan kementerian dapat menangani apa juga sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Kita mengambil pengalaman daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang turut menyebabkan berlakunya 'panic buying.

"Sebelum ini kita tiada pengalaman, sekiranya berlaku lagi kita bersedia dan Insya- Allah keperluan bekalan makanan mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!