Hukuman ke atas Najib mungkin diketahui petang ini
KUALA LUMPUR - Hukuman yang akan dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin akan diketahui lewat petang ini selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan rayuan mitigasi ke Isnin depan.
Selepas mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan permohonan mitigasi (memohon hukuman lebih ringan) diteruskan dengan secepat mungkin.
Mendengar keputusan itu, Muhammad Shafee membuka tirai rayuan mitigasi dengan membacakan biodata Najib.
Menurutnya, Najib yang juga anak jati Kuala Lipis, Pahang mempunyai salasilah Orang Kaya Berempat Pahang malah melakar sejarah dengan menjadi menteri besar termuda negeri itu.
“Najib bukan sahaja mempunyai kriteria sebagai seorang pemimpin yang berkaliber malah tidak mempunyai kes saman trafik atau melakukan kesalahan kecil.
“Najib sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes yang dihadapinya malah tiada laporan anak guam saya mengganggu mana-mana saksi,” katanya.
Membalas rayuan mitigasi tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berkata, rakyat di negara ini tidak perlu dibebankan dengan isu kleptokrasi.
“Menjadi pemimpin tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Pagi tadi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan, Najib, 67, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!