Econsave bantu ibu tunggal hilang kaki
KUALA NERANG - Sebuah keluarga di Kampung Banggol Dogol, dekat sini hilang mata pencarian selepas ketua keluarganya yang juga ibu tunggal kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan pada 7 April lalu di Jalan Padang Sanai-Kuala Nerang.
Siti Fatimah Azizan, 34, yang bekerja sebagai tukang cuci di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ibu kepada dua anak itu berkata, kejadian ngeri kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan kakinya hancur dan terpaksa dipotong sehingga ke paras paha.
"Kejadian itu memberikan kesan kepada saya selain masih perlu ke klinik kesihatan untuk rawatan fisioterapi tangan kiri saya yang masih lemah kesan kemalangan ini.
"Selepas kehilangan kaki kiri, saya perlu menguatkan tangan kiri untuk memegang tongkat. Sekarang kehidupan banyak berubah selain masih menanti permohonan untuk mendapatkan kaki palsu daripada Perkeso," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara, Zamzuri Mansor di rumahnya di sini hari ini.
Siti Fatimah berkata, sebelum ini pendapatannya sekitar RM1,000 digunakan untuk menampung kehidupan harian selain membantu ibu bapanya, Azizan Bakar, 77, (seorang OKU) dan Sofiah Ahmad, 70.
"Kakak saya pula meninggal dunia dua bulan lalu akibat kanser dan anaknya yang berusia 12 tahun kini tinggal bersama saya.
"Keadaan yang menimpa saya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300. Saya kini sedang berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian dengan menjual pakaian dan beberapa barangan lain," katanya.
Sementara itu, Zamzuri berkata, bantuan sumbangan barangan keperluan dapur yang bernilai RM1,000 daripada Econsave itu diharapkan mampu memberikan semangat kepada Siti Fatimah bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.
Menurutnya, sumbangan itu adalah salah satu usaha Econsave meringankan beban rakyat yang berada di dalam kesusahan dan memerlukan perhatian.
"Siti Fatimah adalah salah seorang pelanggan yang membeli belah di Econsave cawangan Pokok Sena sebelum ini dan ini lah masanya untuk pasar raya ini membantunya," katanya.
Bagi sesiapa yang mahu menyalurkan bantuan, boleh menghubungi Siti Fatimah di talian 010-3105986.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!