Jangan eksploitasi kenyataan saya, kata Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran kepada pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi kenyataan yang dibuatnya pada tahun 2017 berhubung pelarian etnik Rohingya.

Menurut beliau, adalah tidak relevan untuk menyamakan situasi ketika itu dengan situasi terkini membabitkan kemasukan Rohingya secara haram ke Langkawi kebelakangan ini.

“Jangan cuba eksploitasi kenyataan saya sebelum ini (2017) dan samakan dengan situasi masa kini. Ia situasi berbeza, usahlah ia dijadikan modal politik untuk membuat serangan peribadi terhadap saya,” katanya.

Pada 2017, Muhammad Sanusi pernah menyarankan agar kerajaan memberi kerakyatan sementara kepada pelarian Rohingya supaya kebajikan etnik tertindas itu terjaga.

Beliau yang mengetuai delegasi Pas dalam misi 'Food Flotilla for Myanmar' ketika itu menegaskan cadangan berkenaan akan menjadikan Malaysia sebagai negara contoh.

Mengulas lanjut pendiriannya itu, beliau berkata, perkara itu tidak lagi timbul dan ia perlu dilihat dalam konteks ketika kenyataan itu dibuat.

“Pendirian saya ketika itu jelas kerana kenyataan itu dilihat pada konteks ketika itu (2017) di mana sekitar Ogos berlaku kemuncak kepada penghapusan atau pembunuhan beramai-ramai (genocide) penduduk Islam Rohingya di Arakan, Myanmar. Kenyataan itu sesuai pada ketika itu.

"Sekarang sudah tidak berlaku proses genocide kerana ramai etnik itu ditempatkan di khemah pelarian di Bagladesh dan Arakan serta kepulauan yang disediakan. Selain itu, ada pelarian yang belayar ke negara ketiga mencari tempat perlindungan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa perairan negara berjaya menahan beberapa bot membawa etnik Rohingya yang cuba mendarat di Langkawi yang seakan-akan menjadi lokasi pilihan pelarian terbabit.

Antara kes terbaharu, pada Sabtu lalu, seramai 24 migran Rohingya ditemui berhampiran Pulau Rebak Besar manakala pada 8 Jun, membabitkan sekumpulan 269 pelarian Rohingya.

Kejadian pada 5 April pula melibatkan kehadiran lebih 200 etnik Rohingya di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong.

Pada 16 April, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengusir sebuah bot membawa lebih 200 pelarian warga Rohingya di kawasan perairan Langkawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!