Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Dr Noor Hisham

Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dr Noor Hisham (dua dari kanan) dan Dr Sha’ari (kanan) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini. FOTO: IHSAN FB SELANGOR ROYAL OFFICE
Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dr Noor Hisham (dua dari kanan) dan Dr Sha’ari (kanan) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini. FOTO: IHSAN FB SELANGOR ROYAL OFFICE
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam di sini hari ini.

Selangor Royal Office menerusi satu kenyataan di Facebooknya memaklumkan, Sultan Sharafuddin berkenan mendengar sendiri mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Noor Hisham dan pasukannya serta semua petugas di barisan hadapan yang bertungkus-lumus berusaha menangani ancaman wabak berbahaya itu.

Turut berangkat mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menzahirkan penghargaan kepada Sultan Selangor yang berkenan menerima sembah maklum situasi semasa pandemik Covid-19.

“Patik dan warga KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) amat berterima kasih atas keprihatinan Tuanku Sultan sentiasa mengikuti perkembangan pandemik Covid-19 yang sedang melanda khususnya negeri Selangor dan negara serta dunia secara amnya.

“Sayu kelihatan baginda Sultan ketika menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang bersiap siaga mengawal keselamatan dan kesihatan negara.

Artikel Berkaitan:

“Titah-titah semangat daripada Tuanku Sultan sememangnya menyuntik semangat dan kekuatan khususnya kepada seluruh anggota petugas kesihatan dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Dr Noor Hisham berkata, dengan sokongan, semangat dan iringan doa daripada Sultan Selangor segala cabaran dan dugaan yang sedang dihadapi akan dipermudahkan.

“Seluruh warga KKM akan terus mendoakan mudah-mudahan Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin terus dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan seterusnya kekal bertakhta dan berdaulat atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!