PH anggap keputusan mahkamah kemenangan rakyat Malaysia
SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah sebagai satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia.
Menurut satu kenyataan bersama, proses pengadilan itu pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada PH dan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Malah bila disoroti sejarah isu ini, masalah urus tadbir 1MDB dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011," katanya di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam proses ini termasuk mantan Peguam Negara yang telah memulakan proses perundangan itu.
"Majlis Presiden menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk meneliti dan menelurusi penghakiman yang telah dibuat hari ini.
"Majlis Presiden berpendirian bahawa reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran Barisan Nasional tidak berulang lagi.
Ujar kenyataan itu, reformasi menyeluruh boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!