'Najib bersalah bukti perjuangan PH bukan fitnah'
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Harapan, (Parti Warisan Sabah (Warisan) dan ‘Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Berprinsip’ menyambut baik dan lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan Datuk Seri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) berkata, keputusan mahkamah dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu membuktikan perjuangan ahli Parlimen pembangkang sejak sekian lama bukan satu fitnah sebaliknya berfakta.
“Jadi apa yang kita dapat lihat pada hari ini, saya ucapkan terima kasih kepada mahkamah yang telah akhirnya menunjukkan bahawa kebebasan telah pun berlaku di mana Datuk Seri Najib telah didapati bersalah di atas semua pertuduhan dikemukakan.
“Kita melihat akhirnya apa yang diharapkan oleh rakyat ternyata menjadi satu kenyataan, jadi kami sebagai ahli Parlimen berasa lega kerana isu yang kami perjuangkan sekian lama akhirnya telah terbukti ia bukan satu fitnah tapi fakta.
“Kita mengharapkan keadilan yang kita minta itu muncul dan hak rakyat dapat dikembalikan dengan sepenuhnya,” ujarnya pada sidang akhbar bersama ahli Parlimen pembangkang di Parlimen di sini hari ini.
Menurut Charles Santiago (PH-Klang), keadilan dalam kes penyelewengan membabitkan bekas Perdana Menteri itu hanya dapat diperoleh kerana PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Jika sebaliknya yang berlaku katanya, kes berkenaan mustahil akan dibawa ke mahkamah.
“Ini menunjukkan mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada PH, ini kemenangan untuk rakyat,” tegasnya.
Sementara itu, Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) berkata, kes tersebut mengingatkan kembali pemecatan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinet Barisan Nasional (BN) pada 2016 kerana menegur Najib berhubung isu 1MDB.
Menurutnya, keputusan mahkamah hari ini yang mendapati Najib bersalah atas pertuduhan terbabit menunjukkan teguran Mohd Shafie adalah tepat dan benar.
“Dari segi kedudukan Najib dalam Kabinet sama ada beliau layak sebagai ahli Parlimen Pekan atau tidak, saya rasa bukanlah satu isu untuk kerajaan Perikatan Nasional untuk menentukan.
“Tapi dari segi undang-undang, beliau adalah pesalah jenayah di atas tujuh pertuduhan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!