Akhlak teras kehidupan

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

PERBEZAAN manusia dengan makhluk lain ialah dengan adanya akal dan minda sebagai anugerah terbesar yang memberikan kelebihan kepada kita untuk memilih. Iaitu sama ada untuk menjadi baik atau sebaliknya.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 26 bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”Akal dan minda yang dipacu dengan ketakwaan akan menjadi pakaian yang menjadikan kita baik dan elok dalam apa jua keadaan sekalipun. Tidak kira sama ada kita sedang diuji dengan kepayahan, kemiskinan, kekalahan dan kesempitan sekalipun.

Akal dan minda yang bertakwa itu akan melahirkan akhlak yang mulia lagi terpuji yang boleh menyelamatkan kita sebagai individu dan memuliakan kita sebagai masyarakat tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Abu Hurairah R.A sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Baihaqi menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda dengan maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”Hadis itu menggambarkan bahawa tema akhlak adalah bukannya bersifat sampingan tetapi sebenarnya ia adalah teras kepada mesej Islam itu sendiri. Akhlak yang tinggi dan mulia mengukuhkan peribadi seseorang serta mewujudkan masyarakat bersusila lagi sopan ke arah melahirkan negara majmuk yang saling hormat menghormati.

Asas itu akan mengukuhkan perpaduan negara yang tidak hanya utuh ketika berada dalam keadaan senang tetapi jua ketika susah dan diuji. Lebih-lebih lagi apabila dihadapkan dengan situasi ‘pandemik’ yang tidak hanya memberi kesan kepada isu kesihatan tetapi juga isu ekonomi dan kelangsungan hidup.

Akhlak yang mulia akan memagarkan masyarakat kita daripada bersifat negatif dengan tindakan dan kata-kata yang boleh memburukkan lagi suasana serta merobekkan perpaduan sedia ada.

MelampauContohnya dalam isu melampau yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menconteng serta menggunakan perkataan yang tidak sesuai terhadap lukisan mural kepimpinan tertinggi negara termasuk Yang di-Pertuan Agong. Ini tidak lain dan tidak bukan bermula daripada kegagalan menerapkan akhlak yang mulia ke dalam diri individu yang terlibat.

Perasaan amarah yang tidak terkawal dan kebencian yang melampau adalah antara punca menyebabkan situasi ini turut berlaku. Ia adalah merupakan manifestasi berakar umbi kepada tindakan dalam kalangan kita yang menanam prasangka buruk kepada kepimpinan negara. Prasangka menebal yang dibina sehinggakan wujudnya prejudis serta hilangnya akhlak dan pertimbangan akal yang waras.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itu, kita semua wajib memainkan peranan dalam usaha untuk menjadi insan berakhlak. Ia bermula dengan diri sendiri tanpa perlu berdolak dalik serta perli memperli. Pada masa sama, kita perlu untuk menyokong usaha-usaha ke arah melahirkan masyarakat berakhlak. Peranan nahi mungkar (menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran) perlu dibuat dengan penuh hikmah serta bersungguh-sungguh.

Usaha memantapkan akhlak itu tidak terhenti kepada individu semata-mata sebaliknya ia perlu disokong oleh kepimpinan negara tidak kira sama ada mereka dalam kalangan pemerintah ataupun pembangkang.

Ini adalah kerana insan itu di atas akhlak kepimpinan mereka. Sekiranya pemimpin itu berakhlak baik maka begitu juga dengan rakyatnya. Sekiranya tidak, maka begitu juga dengan rakyatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!