'Bersatu tidak akan terkubur seperti Semangat 46'

Osman ( kiri) menyerahkan sumbangan Aidiladha kepada golongan kurang berkemampuan di DUN Kempas.
Osman ( kiri) menyerahkan sumbangan Aidiladha kepada golongan kurang berkemampuan di DUN Kempas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan terkubur seperti Semangat 46 kerana matlamat penubuhan kedua-dua parti mewakili majoriti orang Melayu itu berbeza.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, tanggapan terhadap Bersatu yang dikatakan akan menerima nasib seperti Semangat 46 timbul susulan situasi politik pada masa kini.

"Tertubuhnya Bersatu sebagai pelapis atau pengganti UMNO serta memperbetulkan apa yang sudah rosak.

"Berbanding Semangat 46 ditubuhkan ekoran perebutan jawatan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pemilihan UMNO," katanya ketika ditemui di majlis serahan lembu korban dan sumbangan Aidiladha di Kempas hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu turut meminta tiada perbandingan dibuat antara Bersatu dan Semangat 46 selepas timbul ajakan daripada beberapa pemimpin UMNO kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai parti itu.

"Adakah Bersatu ini sudah kuat, daripada tidak dikenali kemudian dikenali dan lagi hebat. Oleh itu jangan bandingkan kami dengan parti Semangat 46.

"Kalau ahli-ahli Bersatu tidak mahu masuk UMNO, maka beliau ( Muhyiddin seorang sahaja yang masuk. Sebenarnya perkara ini terpulang kepada Muhyiddin sendiri sama ada ingin berbuat demikian atau sebaliknya," katanya yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Terdahulu pada 9 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali menyertai UMNO bagi memastikan kestabilan politik negara.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin berkata, beliau dan ramai pemimpin UMNO yang lain mahu Muhyiddin menyertai parti itu semula dan akan terus menyokong beliau menjadi Perdana Menteri sekali gus melakukan yang terbaik untuk negara serta rakyat Malaysia seperti komitmen ditunjukkannya sekarang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!