Didenda RM2,500 gara-gara pindah lembu
KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memindahkan empat ekor lembu tanpa kebenaran.
Majistret, Noradila Ab Latiff membuat keputusan itu selepas Roslan Said, 37, dari Kampung Darat Batu Rakit mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM2,000 dilucut hak dan menjadi hasil kerajaan.
Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa memindahkan empat ekor lembu dari Kampung Mengabang Panjang ke Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus menggunakan lori tanpa kebenaran daripada Pengarah Perkhidmatan Veteriner Terengganu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac lalu sekitar jam 10.25 pagi di kandang lembu Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, Kuala Nerus yang mana kawasan itu diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut dan hawar berdarah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan melanggar kehendak peruntukan para (i)(b) Perintah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Terengganu).
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!