Tribunal siasat salah laku SPR pada PRU14 ditubuh
KUALA LUMPUR - Sebuah tribunal ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang dan semasa PRU14.
Peguam Negara Tommy Thomas berkata, tribunal itu terdiri daripada lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara.
Katanya, mereka adalah Steve Shim Lip Kiong yang dilantik sebagai pengerusi; Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha, dan Prasad Sandosham Abraham.
Katanya, mereka ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 114 (3), 125 (3) dan 125 (4) Perlembagaan Persekutuan.
"Tribunal akan bersidang di Mahkamah Klang pada 10 pagi Isnin ini untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan mandat mereka yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, berhubung enam anggota SPR.
“Mereka adalah Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam, dan Leo Chong Cheong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Thomas berkata, peguam yang membantu tribunal itu adalah M Puravalen dari Badan Peguam Malaysia dan M Kogilambigai serta Ann Khong Hui Li dari Jabatan Peguam Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!