Pelan Strategik 5 Tahun PDRM naik taraf IPK, IPD
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi 'Pelan Strategik 5 Tahun' akan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sesuai dengan sosioekonomi dan kepadatan penduduk di kawasan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, perancangan pihaknya adalah dengan memulakan naik taraf IPK dahulu disusuli IPD.
"Ada antara bangunan itu sudah ada sebelum dan semasa darurat lagi. Perancangan kita telah digariskan dan sudah tentu ia memakan masa yang lama.
"Di Kuala Lumpur ini banyak diwujudkan IPD baharu termasuk balai. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita telah gariskan semua projek kita yang harus diberi keutamaan untuk dibina IPD dan balai baharu.
"Kita lihat selama ini, banyak balai dan pondok polis dari rumah kedai dan ini satu perkara yang perlu dihentikan kerana pembiayaan sewa lama kelamaan boleh bina bangunan tetap," katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul hari ini.
Beliau hadir bagi merasmikan IPD Sentul. Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Katanya, isu ini bukan hanya di Semenanjung, tapi juga di Sabah dan Sarawak yang masih banyak balai-balai daif serta perlu dinaik taraf.
"Untuk ke arah itu, PDRM ada Pelan Strategik 5 Tahun iaitu selaras dengan RMK. Kita selaraskan melalui pelan berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!