Najib bayar ikat jamin tambahan RM1 juta
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada jam 1 petang tadi bagi melunaskan ikat jamin tambahan sebanyak RM1 juta.
Najib, 67, yang tiba dengan memakai kemeja biru muda pada mulanya tidak dapat dikesan oleh para wartawan kerana memasuki kompleks berkenaan menerusi pintu belakang.
Sejurus kemudian anak bongsunya, Norashman tiba selaku penjamin dan menuju ke kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi.
Setelah berada di sana selama 30 minit, Ahli Parlimen Pekan dilihat keluar bersama pengikutnya menerusi pintu utama mahkamah.
Semalam, Perdana Menteri Keenam itu dihukum penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta manakala bagi tiga pertuduhan pecah amanah Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan itu.
Bagi tiga lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, Najib turut dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Ini menjadikan jumlah 72 tahun penjara namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak iaitu Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Sejurus keputusan itu dibuat, Mohd Nazlan memutuskan, pasukan pembelaan yang mewakili Najib berjaya membuktikan keadaan istimewa untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, jumlah ikat jamin perlu ditambah sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kadar ikat jamin bagi kes ini adalah sebanyak RM2 juta.
Najib juga harus melapor diri ke balai polis terdekat pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan.
Beliau diberi masa sehingga hari ini untuk membayar jumlah jaminan tambahan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN Najib dihukum penjara 72 tahun, denda RM210 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!