'Tak senang duduk cucu dibawa lari'

Pihak polis menarik suspek masuk ke dalam selepas mangsa enggan berbuat demikian. (Mek Dah bersyukur cucunya, Muhammad Ammar Uwais (kanan) ditemui dalam keadaan selamat berhampiran pintu air IADA Kemasin Semerak pada jam 1 petang semalam.)
Pihak polis menarik suspek masuk ke dalam selepas mangsa enggan berbuat demikian. (Mek Dah bersyukur cucunya, Muhammad Ammar Uwais (kanan) ditemui dalam keadaan selamat berhampiran pintu air IADA Kemasin Semerak pada jam 1 petang semalam.)
A
A
A

PASIR PUTEH - Pasangan warga emas dari Kampung Bukit Abal di sini tidak senang duduk apabila cucu lelaki kesayangan mereka yang berusia empat tahun 'hilang' tanpa jejak selepas keluar bersama anak saudaranya dengan menaiki sebuah motosikal sekitar jam 6 petang pada Isnin lalu.

Sepanjang tempoh itu pelbagai usaha telah dilakukan oleh Mek Dah Ibrahim, 64, dan suami Che Hussain Musa, 64, untuk mengesan cucunya,

Muhammad Ammar Uwais Nor Hazoma, 4, termasuklah membuat laporan polis pada jam 9 malam.

Berkat usaha dan kerja keras serta iringan doa sanak-saudara, Muhammad Ammar Uwais ditemui selamat berhampiran pintu air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak di sini pada jam 1 petang semalam.

Difahamkan anak saudara kepada pasangan warga emas itu yang berusia 34 tahun mempunyai masalah gangguan mental menetap di Bachok dan sering bertandang ke rumah mereka.

Mek Dah berkata, dia dan suami serta sanak-saudara bersyukur sejurus menemui cucunya itu berada dalam keadaan selamat.

"Sebelum kejadian, anak saudara datang ke rumah dan memberitahu untuk meminjam motosikal bagi membeli barang di sebuah kedai.

"Ketika itu Muhammad Ammar Uwais yang sedang bermain di halaman rumah telah diajak oleh bapa sepupunya itu untuk ke kedai. Saya beri keizinan itu kerana jarak rumah dengan kedai tidak jauh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun cucu dan anak saudaranya masih tidak pulang sehinggalah jam 9 malam.

Katanya, dia dan suami kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan awal berhubung perkara itu di Balai Polis Selising.

"Sebelum laporan polis dibuat usaha mencari telah digerakkan oleh suami, sanak-saudara dan rakan-rakan termasuklah memuat naik gambar Muhammad Ammar Uwais di laman sosial untuk mengesan kedudukannya.

"Suami serta saudara mara keluar mencari di merata tempat dan pulang ke rumah pada jam 5 pagi untuk berehat seketika kemudian menyambung usaha mencari. Pada jam 1 petang semalam, kami telah menerima panggilan daripada sanak saudara yang terlibat dengan usaha mencari itu memberitahu mereka ternampak kelibat Muhammad Ammar Uwais," katanya.

Mek Dah berkata, sejurus menerima panggilan itu dia dan suami bersama ahli keluarga bergegas ke lokasi.

Katanya, bagaimanapun timbul sedikit kekecohan apabila anak saudaranya enggan menghentikan motosikal walaupun sudah kerap kali dirayu untuk berbuat demikian.

"Kami terpaksa merempuh motosikal tersebut bagi mengelakkan dia terus melarikan diri. Tindakan itu menyebabkan Muhammad Ammar Uwais mengalami kecederaan ringan.

Mek Dah berkata, anak saudaranya itu kemudian telah bertindak terjun ke dalam sungai berhampiran pintu air disebabkan rasa takut.

Katanya, dia terpaksa menghubungi pihak polis selepas usaha memujuk anak saudaranya untuk naik ke tebing gagal.

"Muhammad Ammar Uwais dan kembarnya, Muhammad Ammir Uwais duduk dengan kami sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Ini kerana kedua ibu bapa mereka bekerja di Putrajaya dan kembar ini mempunyai tiga lagi adik-beradik berusia antara 15 hingga 6 tahun," katanya.

Video gelagat lelaki berkenaan yang terjun ke dalam sungai tular di media sosial apabila warganet mengaitkan kes tersebut dengan penculikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan buat sementara waktu untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!