'Samakan hijrah dengan pelarian rendahkan kedudukan Islam'

Harussani
Harussani
A
A
A

IPOH - Tindakan menyamakan penghijrahan Nabi Muhammad SAW sebagai satu bentuk pelarian disifatkan merendahkan kedudukan Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, terdapat perbezaan yang ketara di antara istilah hijrah dan pelarian.

Menurutnya, hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah strategi mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan Islam melalui medium politik bersumberkan wahyu.

"Maka hijrah tersebut menghasilkan kemuliaan kepada agama Islam dengan agama Islam bertapak kukuh memimpin penduduk di semenanjung tanah Hijaz.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabi Muhammad bukan melarikan diri, kata Zulkifli

"Istilah pelarian merujuk kepada mangsa perang atau mangsa kerakusan penguasa yang melucutkan kemuliaan dan hak-hak sebagai warganegara kepada mereka walaupun sudah berjaya menempatkan diri ke mana-mana negara yang bersimpati dengan mereka," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Harussani bimbang pemahaman menyamakan hijrah dengan pelarian itu boleh menimbulkan persepsi negatif dan sesuatu yang tidak sihat dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya, kenyataan itu juga boleh menyemarakkan sikap Islamophobia dalam kalangan bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan penilaian saya, pemahaman dan pernyataan yang mengaitkan hijrah Rasulullah SAW sebagai pelarian amat mengelirukan kerana bercanggah dengan al-Quran, as-Sunnah dan pandangan ulamak muktabar.

"Kenyataan ini juga boleh merendahkan kedudukan Islam serta menyamakan darjat Rasulullah SAW dan para sahabat sama seperti pelarian yang lain," katanya.

Sementara itu, Harussani menasihatkan semua pihak supaya memahami dan mendalami agama Islam melalui susur galur ulama serta kitab-kitab muktabar bukannya dicedok daripada barat yang dihidangkan oleh legasi orientalis.

Menurutnya, umat Islam perlu memelihara kesucian dan keagungan agama Islam yang sentiasa memuliakan Rasulullah SAW dalam setiap keadaan.

Sebelum ini, ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengingatkan bahawa tokoh penting dalam Islam juga pernah menjadi pelarian termasuk Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan itu kemudiannya mendapat kecaman banyak pihak yang meminta ia ditarik balik.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad turut memberikan penjelasan di dalam Parlimen bahawa Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Kota Makkah ke Madinah atas perintah dan tuntutan ALLAH SWT namun bukan makna Rasulullah melarikan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!