'Pergi Covid-19!' cetusan idea ketika PKP
PUTRAJAYA - Kumpulan Karangkraf menerusi anak syarikatnya, Grup Buku Karangkraf menyerahkan komik 'Pergi Covid-19!' kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai simbolik mini pelancaran komik tersebut.
Penyerahan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah selepas sesi libat urus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama media di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan penulis komik tersebut, Mohd Khairul Azman Ismail.
Ketika ditemui, Mohd Khairul, 44, berkata, komik tersebut berkisar kepada situasi negara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
"Watak utama adalah Afiq yang berusia sembilan tahun yang mempersoalkan keadaan yang mana terpaksa berkurung di rumah, tidak boleh sekolah dan ditambah pula ibunya bekerja sebagai jururawat yang menjalankan tugas berkaitan Covid-19," katanya.
Menurutnya, idea untuk menghasilkan komik itu tercetus ketika PKP.
"Saya hubungi Karangkraf untuk menghantar kertas cadangan dan ia diluluskan," katanya.
Mohd Khairul yang merupakan seorang guru berkata, banyak pengajaran dan pendidikan diterapkan dalam komik yang mempunyai 32 muka surat itu.
"Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di Karangkraf Mall dengan harga RM16," katanya.
Tambahnya, setiap RM1 daripada belian komik tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung barisan hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!