TV AlHijrah rayakan Aidiladha dengan tema pengorbanan suci
SHAH ALAM - Aidiladha sinonim dengan kisah pengorbanan dan paling dekat dalam ingatan umat Islam sudah semestinya kisah keteguhan hati Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail yang dinukilkan dalam Al-Quran.
Kisah berkenaan memberi ibrah yang sangat besar buat seluruh umat manusia dan menjadikan ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi ia adalah suntikan semangat yang memperingatkan umat manusia untuk terus melakukan pengorbanan yang baik dalam kehidupan seharian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha adalah antara hari kebesaran Islam yang ALLAH SWT kurniakan kepada hambaNya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar iaitu ibadah haji.
“Namun begitu, tahun ini menyaksikan ujian yang cukup besar buat umat Islam seluruh dunia. Serangan pandemik Covid-19 telah merenggut kemanisan ibadah haji yang saban tahun dilaksanakan.
“Kami turut merasai kehilangan dan kekosongan. Manakan tidak, jika pada tahun-tahun lepas, krew TV Alhijrah akan ke tanah suci Makkah seawal satu bulan sebelum ibadah wukuf untuk membuat liputan secara langsung persiapan serta pelaksanaan ibadah haji buat tatapan penonton di Malaysia, namun tahun ini semuanya berubah.
“Bagaimanapun, selaku stesen televisyen yang berikrar untuk menyampaikan ilmu, informasi serta memeluk emosi rakyat, TV Alhijrah akan terus menceriakan serta memberi nilai tambah dalam sambutan Aidiladha tahun ini dengan menyiarkan pelbagai rancangan-rancangan istimewa dan terbaik buat penonton semua.
“TV Alhijrah mengangkat tema Pengorbanan Suci sebagai kempen istimewa bagi meraikan Aidiladha 1441H.
"Ini bermaksud, kesemua barisan rancangan istimewa Aidiladha TV Alhijrah menyelitkan dan memaparkan kesungguhan, ketaatan, kesederhanaan, pengorbanan dan kesyukuran hamba yang menagih kasih sayang dan keberkatan Ilahi dalam perjalanan menjadi Khalifah terbaik di muka bumi ALLAH.” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, TV Alhijrah turut bekerjasama dengan Kementerian Media Arab Saudi yang telah bersetuju untuk berkongsi maklumat terkini perjalanan ibadah haji yang hanya dihadkan kepada 10,000 jemaah sahaja.
Selain itu, mereka turut berkongsi langkah-langkah keselamatan yang akan diambil dalam memastikan semua jemaah selamat dan bebas Covid-19.
“Informasi ini akan dikongsi menerusi siaran Berita Alhijrah secara langsung setiap hari pada jam 8 malam dan juga melalui portal berita alhijrahnews.com.
“Kami menaruh harapan agar penonton semua terus bersama TV Alhijrah Aidiladha ini bagi menyaksikan pilihan rancangan-rancangan yang kami sajikan. Moga semua beroleh manfaat dan reda Ilahi.” ujarnya.
TV Alhijrah akan menghidangkan sembilan rancangan istimewa buat semua. Rancangan-rancangan itu adalah siaran langsung Pertukaran Kain Kiswah, Kapsul Tabung Abah dan Bual Bicara Baitullah Rindu Yang Tertangguh.
Turut ditayangkan ialah Dokumentari Mencari Mabrur, Tabung Abah, Filem Tiada Tajuk, Filem Lima Penjuru Masjid, Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha dan E-Kaunter Netizen: Syamsul Debat Aidiladha.
Selain itu, TV Alhijrah turut menyediakan rancangan-rancangan istimewa lain seperti rancangan MY #QuranTime, Berita Alhijrah. Nasa’i Jiwa, Bazaar, Jom!, Kapsul Tarikh Al-Islam dan Assalamualaikum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!