Patuhi SOP ketika bayar saman di pejabat JPJ

JPJ
JPJ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai yang datang di pejabatnya bagi mendapatkan pengurangan saman hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ berkata, orang ramai diingatkan untuk mengamalkan kebiasaan baharu termasuklah disiplin diri dengan mematuhi jarak sosial serta diwajibkan memakai pelitup muka.

"Orang awam juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan optimum seperti mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

"Melihat kepada senario semasa dianggarkan bahawa orang ramai akan mengunjungi pejabat JPJ dengan jumlah yang ramai dalam satu masa," katanya.

Justeru langkah pencegahan hendaklah sentiasa diambil bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Terdahulu diskaun 70 peratus ditawarkan bagi pembayaran saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tawaran diberikan sempena bulan kemerdekaan itu adalah bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!