Bank Islam lantik Ismail Bakar sebagai Pengerusi
BANK Islam Malaysia Bhd melantik bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ismail Bakar sebagai Pengerusi berkuat kuasa 1 Ogos.
Bank itu berkata, Ismail memiliki pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah memegang beberapa portfolio penting termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan; Pertanian dan Industri Asas Tani; serta Pengangkutan selain pengarah belanjawan di Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.
“Beliau dilantik sebagai KSN yang ke-14 pada 29 Ogos, 2018 sebelum bersara pada Disember 2019,” menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.
Ismail juga merupakan penasihat kanan kepada Kumpulan Bank Dunia, Washington DC bagi tempoh 2008 hingga 2010.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan serta Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, berlandaskan kepakaran dan pengalaman luas Ismail dalam beberapa portfolio, pelantikan ini adalah tepat pada masanya memandangkan bank sedang melakar perjalanan masa hadapannya untuk menjadi bank pilihan utama dalam negara.
Ismail menggantikan Datuk Zamani Abdul Ghani yang bersara pada 1 Mac lepas setelah berkhidmat selama sembilan tahun. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!