Harapan rundingan damai kembali di Afghanistan
RUNDINGAN damai antara kerajaan Afghanistan dengan Taliban dijangka bermula bila-bila masa selepas kedua-dua pihak bersetuju melakukan gencatan senjata selama tiga hari bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kedua-dua pihak yang sebelum ini saling bertempur bersetuju meletakkan senjata bermula Jumaat ini bagi menghormati hari raya korban itu.
Gencatan senjata itu dicadangkan oleh Taliban selepas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menyatakan bahawa pihak kerajaan akan membebaskan seramai 5,000 anggota kumpulan tersebut.
"Bagi menunjukkan komitmen terhadap keamanan, republik Islam ini tidak lama lagi akan membebaskan 5,000 tahanan Taliban," kata Ashraf kepada pegawai-pegawai kanan Afganistan di Istana Presiden, Kabul pada Selasa lalu.
Bilangan itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian antara kumpulan tersebut dengan Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu.
Ashraf kemudian berkata: "Melalui tindakan itu, kami akan memandang ke hadapan dengan memulakan rundingan secara terus dengan Taliban dalam tempoh seminggu."
Sebelum ini, rundingan antara pelbagai pihak bagi memulihkan keamanan di Afghanistan sepatutnya berlaku pada bulan Mac lalu selepas AS melaksanakan perjanjian dengan Taliban bagi menamatkan peperangan.
Perjanjian itu adalah bagi membolehkan AS mengurangkan bilangan askarnya dan tentera asing, berjanji melakukan pertukaran tahanan dengan membebaskan sehingga 5,000 anggota Taliban bagi memperoleh semula 1,000 askar Afghanistan yang ditahan.
AS akan mengurangkan askarnya kepada 8,600 daripada 14,000 anggota selepas kumpulan tersebut berjanji akan wujud keamanan di beberapa kawasan di negara tersebut.
Bagaimanapun, menurut portal Voice of America (VOA), kerajaan Afghanistan berasa terpinggir dengan perjanjian tersebut dan teragak-agak untuk membebaskan anggota kumpulan tersebut.
Ini kerana anggota yang ditahan itu boleh dijadikan sebagai 'tawaran' dalam rundingan penting bagi meyakinkan Taliban supaya mengumumkan satu gencatan senjata.
Menurut AFP, pihak berkuasa Afghanitsan mendakwa sebahagian anggota kumpulan itu yang ditahan didapati menyertai semula pertempuran.
Namun, Taliban menegaskan ia tidak akan menyertai sebarang rundingan damai tanpa anggotanya yang ditahan itu dibebaskan.
Berikutan tekanan daripada masyarakat antarabangsa terutamanya dari AS meningkat, kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana gagal memulakan proses damai.
Dalam satu mesej sempena Hari Raya Aidiladha sebelum Ashraf membuat ucapan tentang rundingan damai itu, seorang pemimpin Taliban, Hibatullah Akhundzada berkata, pertukaran tahanan sepatutnya tidak perlu ditangguhkan kerana ia membina keyakinan dan memendekkan laluan ke arah menamatkan pertempuran.
Sementara itu, menurut VOA, Ashraf bukan sahaja mendakwa para militan membunuh orang awam dengan serangan roket tetapi menuduh kumpulan tersebut mengekalkan hubungan dengan kumpulan al-Qaeda dan lain-lain kumpulan pengganas sekali gus mencabul perjanjian tersebut.
Rundingan damai yang dikenali sebagai Intra-Afganistan itu adalah antara sekumpulan anggota Taliban dengan sebuah kumpulan yang terdiri daripada kerajaan, pertubuhan awam, parti politik, wanita dan pelbagai pihak lain.
Mereka sepatutnya menggariskan tentang bentuk masa depan negara tersebut selepas tentera asing melakukan pengunduran dari tanah air itu.
Sebelum ini, kumpulan-kumpulan hak asasi wanita berasa bimbang bahawa negara berkenaan akan kembali ke zaman pemerintahan Taliban yang dianggap sebagai kejam seperti pada tahun 1990an.
Ketika itu, golongan perempuan tidak dibenarkan pergi ke sekolah dan muzik diharamkan dan hak-hak asasi musnah sejak AS menceroboh Afghanistan pada tahun 2001.
Justeru, beberapa buah negara Eropah menegaskan bahawa golongan wanita perlu hadir pada semua peringkat rundingan.
Bagaimanapun, mesej Hibatullah itu dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan kebimbangan itu.
"Setiap individu dalam masyarakat sah untuk melaksanakan semua hak dan keistimewaan dalam kehidupan manakala status politik dan sosial mereka ditentukan berdasarkan merit serta kewarakan," ujarnya.
Sejak termeterainya perjanjian AS dengan Taliban, seramai 3,560 anggota keselamatan Afghanistan terbunuh oleh militan.
Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan dalam satu laporan pada Isnin lalu, lebih 1,280 penduduk awam negara itu terkorban dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ia adalah akibat daripada pertempuran antara tentera kerajaan dengan Taliban.
Namun, gencatan senjata kali ini adalah yang ketiga secara rasmi sejak berlaku konflik di Afghanistan bermula pada tahun 2001 akibat pencerobohan AS yang dibantu
Australia dan United Kingdom bagi menangkap ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden.
Sebelum ini pada Jun 2018 dan Mei tahun ini pertempuran antara kerajaan Afghanistan dengan Taliban terhenti bagi menghormati bulan Ramadan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!