Keterangan Najib berhubung derma Arab Saudi ada ‘banyak masalah’
KUALA LUMPUR - Terdapat ‘banyak masalah’ dengan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai derma Arab Saudi yang diterima dalam akaun bank peribadinya, kata Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Hakim Mohd Nazlan yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd berkata, tertuduh dalam keterangannya sebagai saksi tidak mendengar sendiri atau dimaklumkan oleh Almarhum Raja Abdullah atau kerabat diraja Arab Saudi mahu menawarkan bantuan kewangan untuk menyokong kepimpinannya.
“Tiada bukti daripada tertuduh yang berusaha untuk mengesahkan niat yang dikaitkan dengan Raja Abdullah itu dengan sesiapapun. Tidak dengan Raja secara langsung atau dengan mana-mana pegawai kerajaan yang dengan mudah boleh diperiksa untuk mengesahkan maklumat itu untuk Perdana Menteri.
“Berikutnya, tidak ada keterangan jika derma yang dimaksudkan itu akan disertakan dengan apa-apa syarat penggunaan. Tiada apa-apa. Tertuduh hanya menerima kata-kata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.
“Tanpa mempedulikan pengaruh Jho Low dalam segmen kerabat diraja Arab Saudi dan kepercayaan tertuduh terhadapnya berdasarkan apa yang telah dicapai, saya dapati bahawa kegagalan tertuduh memastikan pengesahan rasmi mengenai sumbangan yang ingin diberikan oleh Raja Abdullah menunjukkan yang beliau percaya derma yang akan diberikan oleh Raja Abdullah itu adalah sukar diterima akal. Dalam perkataan lain, tertuduh tidak mempercayainya,” kata hakim dalam penghakiman ringkasnya.
Mengenai dakwaan bahawa Raja Abdullah ingin memberikan derma peribadi kepada tertuduh, Hakim Mohd Nazlan menyatakan bagi pemimpin negara lain memasukkan wang ke dalam akaun bank peribadi tertuduh kelihatan janggal dalam hubungan antarabangsa walaupun pada tahap peribadi antara pemimpin negara berbeza.
“Tiada pengesahan daripada pegawai kerajaan sama ada kerajaan Arab Saudi dan Malaysia bahawa tertuduh sebagai Perdana Menteri sebenarnya telah menerima dalam akaun peribadinya derma daripada Raja Abdullah dalam tempoh yang berkenaan.
"All roads lead to Rome and in this case it leads to Riyadh (semua kekayaan pergi kepada Rom dan dalam kes ini ia mengarahkannya ke Riyadh). Banyak hujah tertuduh berkaitan dengan inti pembelaan tertuduh iaitu kepercayaan dan pengetahuannya mengenai akaunnya dan operasi mereka adalah berasaskan wang derma Arab Saudi yang didakwa.
“Saya sebelum ini telah menyatakan bahawa hujah bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan tentang pengiriman wang RM42 juta itu bukan hanya bergantung pada dakwaannya tidak terlibat dalam pengurusan akaunnya sendiri dan ketiadaan pengetahuan mengenai baki tetapi juga mengenai kepercayaannya tentang derma wang daripada Arab Saudi. Ini menimbulkan persoalan sama ada dakwaan kepercayaan dan pengetahuan bahawa pengiriman wang asing dari Raja Abdullah adalah tulen atau dibuat-buat,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Hakim Mohd Nazlan juga berkata Ahli Parlimen Pekan itu tidak mengambil langkah logik untuk mengembalikan RM42 juta itu kepada syarikat (SRC) selepas dimaklumkan tentangnya oleh Pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YRIM) Ung Su Ling.
"Tetapi sewaktu hujahan balas walaupun soalan diulang, tertuduh kekal menyatakan dia tidak pulangkan duit kerana siasatan masih belum selesai. Ini adalah tidak meyakinkan kerana memandangkan keraguan itu, dia seharusnya menawarkan untuk mengetepikan RM42 juta untuk kemungkinan mengembalikan semula kepada SRC atau seperti yang ditentukan oleh pihak berkuasa. Tetapi ia tidak berlaku.
“Daripada keseluruhan bukti, pihak pembelaan gagal untuk membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Saya berpuas hati bahawa ia telah berjaya dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa tertuduh, sebagai pengarah bayangan dan sebagai seorang pengarah SRC (seperti yang didefinisikan di bawah Seksyen 402A Kanun Keseksaan) yang diberi kepercayaan untuk menguasai harta syarikat dengan niat tidak jujur telah menyalahgunakan (menukar untuk kegunaan sendiri) dana milik SRC dengan jumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta seperti dinyatakan dalam tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT),” katanya.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, hakim itu berkata, berdasarkan fakta dan keterangan seperti yang dinyatakan, selaku pemegang akaun, tertuduh tidak boleh dikatakan sebagai seorang yang waspada dan telah mengambil langkah untuk memastikan RM42 juta yang diterima dalam akaunnya bukan daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang dan dia tahu bahawa sumber wang itu adalah sah.
Beliau mengatakan, dalam hal ini ia menimbulkan keraguan luar biasa menyebabkan kesimpulan yang tidak dapat ditolak bahawa tertuduh sengaja memilih tidak mempersoal dan menyelidik pertanyaan yang jelas memerlukan kesahan, jadi dia dapat menyatakan tidak mengetahuinya dan tindakan ini adalah disengajakan.
“Namun tertuduh tidak mengambil satu langkah pun untuk menyiasat bagi mengetahui kebenaran masalah tersebut. Pembelaan tertuduh yang beliau percaya dana itu dimasukkan ke akaunnya adalah sumbangan daripada Raja Abdullah tidak lain adalah rekaan semata-mata.
“Untuk mengelakkan keraguan, saya mesti menekankan bahawa walaupun dapatan mengenai tertuduh dengan sengaja mendiamkan penerimaan hasil daripada aktiviti tidak sah di dalam akaunnya 880 dan 906 seperti yang didakwa dalam kesalahan pengubahan wang haram, fakta dan keterangan dalam kes ini yang relevan dengan niat tidak jujur dan pengetahuan untuk tuduhan CBT juga menjamin inferen bahawa tertuduh mengetahui bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah dari SRC International di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
“Oleh itu saya dapati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tertuduh di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA seperti yang dijelaskan dalam tiga pertuduhan pengubahan wang haram. Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes pengubahan wang haram seperti yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah,” kata hakim.
Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.
Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Hakim memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!