Noah Randall mualaf dari Alaska
[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Niatnya sekadar membantu menghantar seorang rakan sekerja yang mahu memeluk Islam ke sebuah masjid, namun Noah Randall dari Alaska, Amerika Syarikat akhirnya menerima hidayah ALLAH dan memeluk Islam pada penghujung tahun 2005.
Mengimbas kembali detik itu, Noah berkata, setibanya di masjid dia dan rakannya diajak mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat bersama jemaah lain. Mereka hanya menurut meskipun tidak faham apa yang dibaca dan sekadar mengikut pergerakan solat.
Tanpa disangka, hati kecil Noah terkesan dengan khutbah berbahasa Inggeris yang dibacakan imam. Dirinya merasakan isi khutbah tersebut satu kebenaran yang dicari-carinya selama ini.
Noah mengakui dirinya menerima hadiah yang terlalu bernilai iaitu hidayah Allah dan akhirnya memeluk Islam tanpa sebarang paksaan di Masjid As Sunnah, Anchorage, Alaska.
Dibesarkan dalam keluarga yang patuh mengamalkan agama Kristian, keputusan Noah memeluk Islam amat mengejutkan terutama buat bapanya yang merupakan seorang pastor di sebuah gereja di Florida.
“Dari kecil saya bersekolah swasta Kristian, jadi apabila saya memeluk Islam, seluruh ahli keluarga menentang keras, namun kini Alhamdulillah mereka sudah boleh menerima saya beragama Islam,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Ernie Rizah Zainal Abidin dari Kuala Lumpur pada bulan Oktober tahun 2010.
Noah, 34, berkenalan dengan Ernie, 41, ketika wanita itu melawat keluarga kakak dan abang iparnya yang tinggal di Anchorage.
Selepas berkahwin dan kembali ke Malaysia, pasangan tersebut cuba menyeimbangkan adat dan budaya masing-masing yang sememangnya berbeza.
Ditanya tentang pengalaman menyambut Hari Raya Aidiladha ketika di Alaska, pasangan tersebut berkata, sambutan selalunya diadakan di Sports Centre di Anchorage.
“Hari Raya Aidiladha inilah waktu untuk semua umat Islam berkumpul dan melakukan solat hari raya bersama-sama. Jamuan makan juga disediakan dan ada juga keluarga yang membawa makanan tradisi mereka untuk dikongsi bersama komuniti Muslim yang hadir.“Disebabkan saya satu-satunya Muslim dalam keluarga, selepas solat raya kami melawat rakan mualaf ataupun keluar berpiknik di taman.
“Di Alaska tiada ibadah korban dijalankan di masjid. Haiwan korban selalunya disembelih atau ditempah di negeri lain yang terdapat rumah sembelihan halal.
“Daging korban pula akan diagihkan kepada keluarga asnaf sekitar negeri itu,” kata Noah sambil menambah ketiadaan komuniti Muslim yang ramai di Alaska menyebabkan sambutan tidak semeriah di negeri-negeri lain di AS.
Bagi Noah, dirinya berasa lebih teruja menyambut Hari Raya Aidiladha di Malaysia berbanding di Alaska. Selain berpeluang meluangkan masa bersama keluarga, Noah kesempatan merasai pengalaman menyembelih dan melapah sendiri haiwan korban.
Bagi Noah, dirinya berasa lebih teruja menyambut Hari Raya Aidiladha di Malaysia berbanding di Alaska. Selain berpeluang meluangkan masa bersama keluarga, Noah berkata, dia bersempatan merasai pengalaman menyembelih dan melapah sendiri haiwan korban di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!