Perjalanan indah hidayah Maryam

Maryam dan Ryzal
Maryam dan Ryzal
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SEBELUM memeluk agama Islam, You Narae dari Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan hanya seorang gadis biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.

Namun takdir ALLAH menemukan You Narae dengan Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, seorang jejaka Melayu berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang kini menjadi pasangan hidupnya.

Pada awal perkenalan mereka lebih setahun lalu, Nik Muhammad Rizal atau mesra disapa sebagai Ryzal menawarkan untuk mengajar bahasa Inggeris secara percuma kepada You Narae atau kini dikenali dengan nama Islamnya, Maryam dengan syarat wanita itu sudi mengajarnya bahasa Korea.

Bermula daripada hubungan ‘guru dan pelajar’ keakraban yang terjalin menjadikan masing-masing tidak berasa janggal untuk berkongsi kisah peribadi.

Lebih bermakna apabila hati kecil wanita itu terbuka untuk mengenali Islam setelah berkenalan dengan Ryzal yang pada ketika itu merupakan seorang pelajar Jurusan Kewartawanan di Universiti Korea.

“Keperibadian Ryzal yang tidak terlalu mendedahkan gaya hidup Islam secara berlebihan, malah berfikiran terbuka membuatkan saya jatuh hati,” ujar Maryam secara eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Nama Maryam mula menjadi perhatian pelayar media sosial Malaysia menerusi video-videonya mempelajari bahasa Melayu yang dimuat naik menerusi saluran Duriankimchi TV YouTube.

Maryam yang kini berkhidmat sebagai ahli fisioterapi di sebuah hospital di Ansan berkata, bulan Ramadan tahun lalu merupakan saat permulaan dirinya terdetik untuk mendalami Islam terutama apabila melihat kegembiraan Ryzal dan rakan-rakan Muslimnya berpuasa.

Artikel Berkaitan:

“Timbul pertanyaan dalam diri mengapa mereka berasa gembira dan tidak sabar untuk menyambut bulan Ramadan sedangkan mereka berlapar.

Maryam mula jatuh cinta dengan Islam selepas melihat Ryzal dan rakan-rakannya gembira menjalani ibadah puasa di Korea.
Maryam mula jatuh cinta dengan Islam selepas melihat Ryzal dan rakan-rakannya gembira menjalani ibadah puasa di Korea.

“Saya mencari penjelasan tentang orang Islam berpuasa dan akhirnya berpuasa untuk pertama kali dalam hidup demi mengetahui bagaimana perasaan orang Islam berpuasa,” katanya sambil menambah kunjungan keluarga Ryzal ke Korea Selatan pada bulan Jun 2019 membuatkan dirinya semakin ingin tahu mengenai Islam. Ini kerana keluarga Ryzal sering mencari surau atau masjid untuk berhenti bersolat.

Akhirnya pada 11 Julai 2019 atau kira-kira sebulan sebelum hari raya korban, Maryam melakukan pengorbanan terbesar dalam hidupnya. Setelah yakin dengan hati dan dirinya, Maryam mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Imam di Masjid Itaewon, Seoul.

Perjalanan Maryam mencari keredaan ALLAH turut mendapat sokongan ibu tercinta yang gembira melihat kebahagiaan anaknya. Namun, tidak semuanya berjalan mudah apabila ada juga rakan-rakan mempertikaikan mengenai isu tudung, tidak boleh makan daging khinzir dan mengambil minuman keras.

Maryam yang mendirikan rumah tangga dengan Ryzal pada 15 Ogos tahun lalu berkata, antara kesulitan menjadi seorang Muslim di Korea adalah terpaksa mengelak setiap kali makan malam berkumpulan anjuran pihak hospital kerana makanannya tidak halal.

“Saya berasa tidak selesa kerana perkara itu dianggap tidak sopan dan tidak menghormati budaya masyarakat Korea,” katanya.

Dari segi solat, Maryam memilih untuk menunaikan solat di rumah kerana jarak tempat kerja dan rumah berhampiran. Pada waktu malam pula, Maryam akan solat berjemaah dengan suami.

Raya haji

Menyentuh tentang sambutan Hari Raya Aidiladha, pada tahun lalu, masing-masing terpaksa bekerja, namun Ryzal berkesempatan memasak beberapa juadah seperti nasi lemak dan daging salai serai goreng sepertimana yang sering dimasak ibunya pada hari raya korban.

Dalam pada itu, Ryzal berkata, beliau turut menjelaskan kepada Maryam mengenai pengertian hari raya korban dan ibadah-ibadah yang biasa dilakukan pada perayaan itu.

“Cuma saya tidak berkesempatan untuk membawa Maryam melihat sendiri ibadah korban kerana di Korea Selatan aktiviti penyembelihan haiwan di tempat awam atau mana-mana masjid adalah tidak dibenarkan.

Maryam dan Ryzal
Maryam dan Ryzal

“Sebaliknya di Korea Selatan pihak masjid akan menawarkan roti dan susu kepada mereka yang datang ke masjid selepas selesai solat raya.

“Tahun ini, disebabkan pandemik Covid-19, kami akan menyambut hari raya korban di rumah sahaja sambil memasak rendang dan beberapa jenis juadah lain,” ujar Ryzal.

Pada akhir bicara, Maryam berpesan kepada mereka yang ingin memeluk Islam bahawa perjalanan sebagai saudara baharu bukanlah mudah, namun pengorbanan dalam mencari reda ALLAH pasti dipermudahkan jika berbekalkan niat yang ikhlas dan jujur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!