Saran lanjut moratorium secara automatik kepada B40, M40
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan melanjutkan moratorium secara automatik sekurang-kurangnya selama enam bulan lagi kepada semua isi rumah B40 dan M40 di negara ini.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan miskin dan terpinggir menagih belas kasihan bank.
Menurutnya, MTUC menyambut baik pengumuman kerajaan tentang Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang diumumkan kerajaan semalam.
"Namun, dalam menawarkan pilihan termasuk pelanjutan tiga bulan moratorium pembayaran pinjaman bagi mereka yang menganggur setelah kehilangan pekerjaan tahun ini, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengatakan syarikat dan individu perlu membuat permohonan ke bank masing-masing bermula 7 Ogos depan.
"Keadaan itu seolah-olah memaksa orang miskin untuk menagih belas ihsan bank bagi memohon pelanjutan moratorium atau mengubah syarat-syarat pinjaman atau perjanjian sewa beli mereka," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus kepada individu yang hilang pekerjaan akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan.
Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, lanjutan moratorium kepada mereka yang menganggur sepatutnya turut diberi kepada mereka yang bekerja tetapi mengalami pemotongan gaji.
Katanya lagi, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi kerajaan lain mempunyai pangkalan data komprehensif mengenai keluarga B40 dan M40 yang digunakan kerajaan dalam menyalurkan pelbagai bantuan termasuk pemberian wang tunai di bawah Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
"Bank boleh menggunakan pangkalan data itu untuk menyetujui lanjutan moratorium enam bulan lagi secara automatik.
"Kumpulan B40 dan M40 yang terpinggir itu adalah golongan yang paling memerlukan pelanjutan moratorium semasa kerana kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan atau terpaksa mengambil potongan gaji.
"Kesemuanya terjejas teruk oleh kenaikan kos sara hidup terutamanya makanan semasa pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!