Al-Sultan Abdullah lawat rumah keluarga wartawan Sinar Harian
TEMERLOH - Tragedi ribut yang berlaku seminggu sebelum sambutan Syawal enam tahun lalu membawa kenangan tersendiri kepada saya. Rumah keluarga kami adalah antara yang teruk dilanda ribut di Kampung Batu Kapor, Mentakab ketika itu.
Sebagai wartawan Sinar Harian, sudah menjadi kebiasaan bagi penulis membuat liputan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Mustafa Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang turun padang melawat kawasan bencana.
Namun, senarionya amat berbeza kerana ketika itu saya berdepan dengan Seri Paduka selaku wakil keluarga yang terbabit dalam bencana tersebut.
Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong kepada mangsa ribut sangat terserlah dan melegakan hati saya yang turut dilanda keresahan mengenangkan nasib keluarga menjelang lebaran.
Bayangkan, sebahagian ruang tamu termasuk bilik utama dan dapur terdedah dan rosak berikutan atap yang diterbangkan angin dalam kejadian beberapa jam sebelum tiba waktu berbuka.
Segala keresahan terubat selepas Al-Sultan Abdullah mencemar duli datang bertemu dengan mangsa-mangsa di kampung saya pada keesokan harinya. Seri Paduka hadir bersama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kini bergelar Pemangku Raja Pahang.
Bantuan segera dan sumbangan peribadi Al-Sultan Abdullah kepada semua mangsa terlibat mengurangkan beban kami yang berdepan musibah.
Malah ziarah itu menjadi satu kenangan manis buat anak saudara saya, Rayyan Rizkin yang kini berusia 10 tahun kerana mempunyai gambar kenangan dengan Seri Paduka bersama Tengku Hassanal yang mendukungnya ketika itu.
Malah saya juga sering disapa dengan pertanyaan mengenai keadaan rumah jika bertemu dalam tugasan membabitkan Yang di-Pertuan Agong di Pahang.
Itu menunjukkan betapa keprihatinan Al-Sultan Abdullah yang masih mengingati bencana itu biarpun telah beberapa tahun berlaku.
Paling manis, rumah keluarga keluarga saya berjaya dibaiki pada malam raya. Detik Syawal 2014 disambut dengan seribu kenangan dalam keluarga kami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!