Rompak, menyamar penguat kuasa imigresen, lelaki kekal di penjara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan terhadap seorang lelaki atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusof juga mengekalkan hukuman penjara 16 bulan terhadap Zulfakar Omardin atas pertuduhan menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen.

Rozana membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Zulfakar, 38, terhadap kedua-dua hukuman yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah pada 20 September 2017 selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan itu.

Dalam penghakiman, Rozana berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

"Oleh itu rayuan ditolak dan hukuman dikekalkan," katanya sambil menegaskan hakim Mahkamah Sesyen telah jelas bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Zulfakar didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas tujuh pekerja wanita pusat kecantikan dengan mengambil lima jenis telefon bimbit pelbagai jenama di sebuah pusat kecantikan De Touch Wellnes Beauty Centre, Taman Segar Cheras pada 6.30 petang, 23 September 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Zulfakar diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad dan Dony Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Joseindra Abu Senin.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!