Promosi istimewa Fantasia Aquapark
JITRA – Selepas ditutup sejak 18 Mac lalu susulan pandemik koronavirus (Covid-19), taman tema air Fantasia Aquapark, (FAP) di sini akan kembali beroperasi mulai 1 Ogos depan dengan menawarkan promosi istimewa dan hebat untuk pengunjung.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, bersempena pembukaan semula tersebut FAP menawarkan promosi ‘Segalanya Bermula RM10’ sepanjang Ogos 2020.
Katanya, buat julung kalinya pengunjung boleh mendapatkan tiket masuk ke FAP, set kombo makanan yang terdiri daripada burger, kentang goreng dan air minuman serta sewaan tiub masing-masing hanya pada harga RM10.
“Di samping itu, FAP turut mengadakan promosi yang mana bagi setiap pembelian 10 keping tiket masuk, orang ramai akan menerima dua keping tiket lagi secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, FAP merupakan taman tema air berkonsepkan taman magika di mana pengunjung akan memasuki ke dunia serangga yang penuh warna-warni.
"Sebanyak 12 tarikan juga telah dibina seperti air terjun buatan manusia dan antara yang mampu menarik minat pengunjung ialah Children Water Factory, Children Splash Pads, Twin Slide, Lazy River dan Water Cave.
"Pengunjung juga akan disambut oleh empat maskot rasmi FAP iaitu BeeBee, RaRa, Rem dan juga Eemut yang akan membawa mereka memasuki ke dunia serangga yang penuh warna-warni," katanya.
Beliau berkata, pihak FAP melakukan persediaan menyeluruh terutama dari sudut kebersihan dan keselamatan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi dengan sebaik mungkin.
Jelasnya, berdasarkan SOP semasa yang ditetapkan oleh MKN, had umur yang dibenarkan untuk memasuki FAP adalah enam tahun ke atas serta suhu badan pengunjung juga akan diambil dan mereka perlu mengisi borang deklarasi melalui aplikasi MySejahtera.
"Pihak FAP sentiasa komited memastikan SOP MKN dipatuhi dan segala perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.
Mohd Iskandar berkata, FAP yang meliputi kawasan seluas kira-kira 15,000 kaki persegi juga hanya membenarkan kemasukan 50 peratus daripada kapasiti pengunjungnya bagi memastikan penjarakKan sosial dapat dipatuhi serta mewujudkan persekitaran yang selamat kepada semua pihak.
“Buat permulaan, waktu operasi FAP adalah pada jam 10 pagi hingga 7 petang dan dibuka hanya pada hujung minggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Bagaimanapun, kita akan mengkaji semula waktu operasi berdasarkan sambutan dan permintaan daripada orang ramai,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi talian 04-9131846 atau melayari portal rasmi FAP dipautan www.fantasia.bdb.com.my serta laman Facebook rasmi FAP di Fantasia Aquapark.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!