Jambatan AS runtuh, terbakar akibat kereta api tergelincir

Beberapa gerabak kereta api terbakar selepas tergelincir di atas sebuah jambatan yang sebahagiannya runtuh dekat bandar raya Phoenix semalam. - Foto CBSS
Beberapa gerabak kereta api terbakar selepas tergelincir di atas sebuah jambatan yang sebahagiannya runtuh dekat bandar raya Phoenix semalam. - Foto CBSS
A
A
A

PHOENIX - Sebuah kereta api barang tergelincir dan terbakar di sebuah jambatan yang sebahagiannya runtuh di Arizona, Amerika Syarikat (AS) semalam tetapi tidak ada laporan berhubung kecederaan dan kematian dengan seorang saksi menyatakan kejadian itu seolah-olah seperti satu pemandangan dari neraka.

Kejadian dekat Phoenix itu berlaku sekitar jam 6.15 pagi dan api boleh dilihat sejauh beberapa kilometer manakala kira-kira 100 anggota bomba, polis dan paramedik bergegas ke lokasi kejadian.

Jurucakap syarikat pengendali kereta api Pacifik Union, Tim McMahan memberitahu AFP, sebanyak lapan hingga 10 gerabak terbakar di sebuah jambatan kereta api di Tasik Bandar Tempe di bandar raya tersebut.

"Bahagian selatan jambatan itu runtuh dan gerabak-gerabak tergelincir di sebuah tempat meletak kenderaan," katanya dengan menyatakan jambatan berkenaan sudah diperiksa pada awal tahun ini.

Menurutnya, ketika kejadian kereta api tersebut dalam perjalanan menuju ke Phoenix dari Tucson manakala seorang dirawat kerana terhidu asap.

Katanya, sebanyak tiga gerabak tergelincir di bawah jambatan tersebut dengan dua daripadanya mengandungi bahan sikloheksanon iaitu cecair tidak berwarna dan mudah terbakar serta digunakan untuk membuat nilon.

Tambahnya, sebuah lagi gerabak yang tergelincir itu membawa muatan bahan-bahan getah.

"Tiada satu pun daripada tiga gerabak itu (tergelincir di bawah jambatan itu) dilaporkan terbakar dan mengalami kebocoran," katanya dengan menambah, punca kejadian masih disiasat. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!