Amal kebiasaan baharu ketika sambutan Aidiladha: MB Kelantan
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menggesa masyarakat di negeri ini termasuk perantau yang pulang untuk menyambut Aidiladha esok, agar mengamalkan kebiasaan baharu dalam usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
"Amalkan kebiasaan baharu dalam berhari raya dengan mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan. Jagalah diri kita, keluarga kita, masyarakat kita.
"Berhati-hati semasa memandu khususnya buat anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya," katanya dalam perutusan sempena Aidiladha di sini, hari ini.
Beliau berkata sambutan Aidiladha memberi makna yang cukup besar kepada umat Islam terutama bagi bakal jemaah haji yang berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu.
"Namun, demi kemaslahatan ummah, keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah haji bagi tahun 1441H ekoran penularan wabak Covid-19 perlu diterima dengan penuh hemah dan hikmah," katanya.
Katanya, Islam menggalakkan umatnya untuk mengamalkan konsep ta’awun (bekerjasama) dalam kerja kebajikan dan ketakwaan serta melarang daripada mengamalkan konsep tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.
"Oleh yang demikian, ibadah korban akan melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT, menghilangkan rasa kedekut dan tamak dalam diri dan melatih umat Islam agar sentiasa berkorban demi menegakkan syiar Islam.
"Dalam masa yang sama, ia dapat membantu golongan fakir miskin yang sentiasa memerlukan pertolongan dan mengeratkan tali silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan umat Islam," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!