Kementerian Kewangan lancar program RM750 juta kredit ePenjana

Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - kementerian Kewangan (MoF) telah melancarkan program kredit ePenjana bernilai RM750 juta, iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) yang bertujuan untuk membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Di bawah program ini, setiap pemohon yang layak akan mendapat RM50 kredit ePenjana mulai 31 Julai 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

“Tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih untuk melaksanakan inisiatif ini ialah Boost, GrabPay dan Touch 'n Go eWallet. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak koronavirus (Covid -19) MySejahtera,” katanya.

Untuk memohon kredit, Tengku Zafrul berkata, setiap pemohon mesti memuat turun salah satu dari tiga eDompet berkenaan, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit ePenjana daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet terpilih (Boost, GrabPay atau Touch 'n Go eWallet).

“Pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar dan/atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Tempoh memohon RM50 kredit ePenjana adalah dari 31 Julai hingga 24 September, 2020, manakala tarikh akhir penggunaan ePenjana adalah pada 30 September, 2020.

“Pemohon disaran memuat turun dan mengemas kini data di dalam aplikasi MySejahtera, manakala peniaga dan peruncit perlu menghubungi penyedia perkhidmatan e-Dompet yang berkenaan, dan mendapatkan kod QR MySejahtera bagi memastikan urus niaga ePenjana yang lancar di kedai-kedai mereka.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat juga diingatkan bahawa bagi tujuan pelaksanaan ePenjana, Kementerian Kewangan hanya mengiktiraf aplikasi MySejahtera, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Pastikan data peribadi hanya dikongsi dengan aplikasi yang rasmi dan sahih,” nasihat beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!