Boost, Grabpay bangga terpilih dalam program ePenjana

Boost, Grabpa bangga terpilih dalam program ePenjana - Foto Bernama
Boost, Grabpa bangga terpilih dalam program ePenjana - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Boost dan GrabPay telah dipilih kerajaan untuk menjadi penyedia e-dompet rasmi dalam inisiatif ePENJANA, yang secara rasmi akan dilancarkan 31 Julai sehingga 30 September 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah dalam satu kenyataan berkata, e-dompet tempatan itu berasa amat bersyukur untuk dipilih sekali lagi sebagai salah satu platform pembayaran digital kerajaan yang dipercayai.

Beliau berkata, Boost sedang memandang ke hadapan bagi memainkan peranan penting dalam usaha membina semula ekonomi negara, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia untuk menjadi lebih berdaya tahan dalam berhadapan dengan krisis ekonomi serta kesihatan semasa.

Insentif e-PENJANA sebanyak RM50, yang bertujuan untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna, adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000.

Pengarah Urusan GrabPay, Ooi Huey Tyng dalam satu kenyataan berkata, e-dompet syarikat itu juga telah terpilih sebagai e-dompet rasmi ePENJANA.

"Sebagai sebuah teknologi pemboleh kelahiran tempatan dan penggerak ekonomi digital, kami amat berbesar hati apabila GrabPay menjadi sebahagian daripada inisiatif ePENJANA kerajaan," katanya.

Ooi berkata, sejak kawalan pergerakan bermula, Grab telah membantu mewujudkan pembayaran yang selamat, mudah dan tanpa sentuhan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses kepada keperluan harian mereka seperti makanan, penghantaran dan barangan runcit dari keselesaan rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kewangan lancar program RM750 juta kredit ePenjana

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Kementerian Kewangan (KKM) melancarkan program kredit ePENJANA bernilai RM750 juta, yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata di bawah program ini, setiap pemohon yang layak akan menerima kredit ePENJANA sebanyak RM50 bermula Jumaat ini.

"Tiga pembekal perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch 'n Go telah dipilih bagi pelaksanaan inisiatif ini. Program tersebut akan dilancarkan dengan bantuan aplikasi pengesanan COVID-19 MySejahtera," katanya.- BERNAMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!