Penswastaan kelab: FAM gesa persatuan, kelab lebih serius

Mohd Firdaus (dua kiri) ketika memberikan penerangan perkembangan terkini proses penswastaan kelab kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Mohd Firdaus (dua kiri) ketika memberikan penerangan perkembangan terkini proses penswastaan kelab kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
A
A
A

PASUKAN dan kelab Liga Malaysia (Liga-M) diingatkan supaya menyelesaikan segera proses penswastaan kelab merangkumi pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) selewat-lewatnya pada 30 September depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed,

setakat semalam hanya lima persatuan dan kelab yang sudah melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan manakala terdapat lapan persatuan dan kelab yang masih belum memulakan proses berkenaan.

"Proses ini perlu dilakukan oleh kesemua 20 persatuan dan kelab yang pasukannya beraksi dalam Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 serta tambahan dua lagi ahli gabungan FAM yang tiada pasukan dalam kedua-dua liga utama tersebut iaitu ATM FA dan Perlis FA.

"Bagi persatuan, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan dan juga pemisahan FA ke FC manakala bagi kelab, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan sahaja.

"Hanya lima persatuan dan kelab telah melengkapkan proses penswastaan mereka termasuk pemisahan FA ke FC iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sarawak FA, PJ City FC, ATM FA, Perlis FA dan terbaharu, Negeri Sembilan FA," katanya semalam.

Tambah Mohd Firdaus yang juga Exco FAM, pihaknya yakin lapan lagi persatuan dan kelab yang sedang dalam proses melengkapkan penswastaan kelab

dapat menyelesaikannya menjelang Ogos atau September ini

Artikel Berkaitan:

sekiranya mengikut garis masa ditetapkan.

"Bagaimanapun agak membimbangkan apabila lapan lagi persatuan dan kelab iaitu PDRM FA, Kuala Lumpur FA, Kedah FA, Perak FA, Sabah FA, Pahang FA, UiTM FC dan UKM FC masih belum memulakan proses penswastaan biarpun lima daripada mereka sudah pun diberikan bantuan bimbingan oleh FAM menerusi lawatan ke persatuan serta kelab mereka atau secara dalam talian.

"Tempoh masa yang tinggal masih ada kira-kira dua bulan dan FAM sangat berharap pihak pengurusan persatuan dan kelab yang terbabit dapat mengambil serius hal ini kerana mereka bakal berdepan untuk diturunkan ke liga amatur iaitu Liga M3, musim depan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan diturunkan pangkat ke Liga M3 itu, Mohd Firdaus berkata, ia berdasarkan ketetapan dibuat bahawa hanya persatuan dan kelab yang telah selesai proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC yang pasukannya akan dibenarkan untuk menyertai pertandingan peringkat AFC, Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2021.

"Perkara ini telah pun dinyatakan dengan jelas sewaktu Bengkel Setiausaha Agung 2020 anjuran FAM yang berlangsung pada 17 Januari lalu yang mana ia dihadiri oleh barisan setiausaha agung dan wakil dari 20 ahli gabungan FAM.

"Ia turut dinyatakan juga dalam surat pekeliling mengenai pelan dan garis masa untuk proses penswastaan serta pemisahan kelab dari FA dan FC yang dihantar ke persatuan dan kelab pada 21 Februari lalu dan disusuli dua surat peringatan pada 15 Jun lalu dan terbaharu pada 23 Julai lalu.

"Justeru FAM sekali lagi menggesa persatuan dan kelab yang belum selesai atau belum memulakan proses ini supaya dapat bertindak segera kerana jika gagal, sesebuah pasukan Liga Super itu bukan saja boleh jatuh ke Liga Premier, malah akan turun terus ke Liga M3," katanya.

Pada masa sama, Mohd Firdaus turut menasihatkan pengurusan persatuan dan kelab supaya segera menghubungi FAM sekiranya memerlukan bantuan atau bimbingan dalam melakukan proses penswastaan serta pemisahan FA ke FC ini.

"Saya yakin dan percaya baki 16 persatuan dan kelab ini iaitu sembilan yang dalam proses dan lapan yang belum memulakan proses, akan dapat melengkapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu 30 September depan jika mereka benar-benar serius dan mahu diswastakan untuk menjadi sebuah kelab profesional," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!