Kluster Sivagangga: KKM saring 262 individu, lapan dikesan positif

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap 262 individu dalam kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Sivagangga di Kedah dan lapan daripadanya dikesan positif, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes positif itu, lima individu adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 251 individu pula dikesan negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, beliau menasihati semua umat Islam di Malaysia yang melaksanakan aktiviti ibadah korban agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Pemakaian alat pelitup muka adalah amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

“Amalkan kebersihan kendiri, terutamanya kebersihan tangan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun terutamanya apabila mengendalikan makanan semasa penyediaan juadah Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata semua anggota barisan hadapan sentiasa mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19.

“Semoga dengan normal dan kebiasaan baharu ini, kita dapat sama-sama membendung wabak Covid-19 di Malaysia semasa mahupun selepas musim perayaan,” katanya di samping melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang komited memberikan perkhidmatan ketika musim perayaan ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!