MotoGP Malaysia batal
IMPIAN peminat sukan permotoran negara untuk menyaksikan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak kesampaian apabila acara berprestij kalendar MotoGP yang dijadualkan pada 30 Oktober hingga 1 November dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.
Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama yang mengumumkan perkara itu memaklumkan, selain pembatalan GP Malaysia di SIC turut dibatalkan perlumbaan GP Argentina dan Thailand.
Bagaimanapun, badan pentadbir sukan permotoran itu memutuskan untuk menambah venue GP di Eropah dalam kalendar Kejuaraan MotoGP yang dijadual pada 20 hingga 22 November, yang juga perlumbaan terakhir musim ini, menjadikan semua perlumbaan MotoGP 2020 berlangsung di Eropah.
Dorna Sports iaitu pemegang ekslusif komersial dan hak siaran MotoGP juga memulakan perbincangan dengan pihak Argentina dan Malaysia berhubung tarikh sesuai bagi perlumbaan musim 2021 untuk dicadangkan kepada FIM, dengan beberapa perancangan mengalu-alukan peminat kembali ke litar, sementara persetujuan turut dicapai dengan Litar Chang di Buriram, Thailand untuk berada dalam kalendar perlumbaan sehingga 2026.
Sedih dengan keputusan pembatalan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata, ketiadaan ketiga-tiga perlumbaan itu dalam kalendar 2020 sangat memberi kesan kerana peminat setia sukan permotoran sering mengembara ke seluruh benua untuk menyaksikan perlumbaan.
“Ketibaan peminat di Termas de Rio Hondo (Argentina), Buriram dan Sepang sangat luar biasa, sentiasa mencetuskan suasana dan sambutan luar biasa terhadap sukan ini.
"Kami sangat berharap dapat kembali ke Thailand, Argentina dan Malaysia tahun depan dan seperti biasa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas kesabaran dan pengertian mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif yang kecewa dengan pembatalan GP Malaysia buat pertama kali sejak dianjurkan pada 1999 yang berjaya menarik lebih 100,000 penonton sepanjang minggu perlumbaan dalam beberapa edisi sebelum ini, berharap dapat kembali lebih hebat dalam kalendar 2021.
“Kami sangat berharap untuk menyaksikan aksi perlumbaan di tanah air terutamanya pelumba negara seperti Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin dan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yang bermula baik musim ini. Bagaimanapun, dengan situasi penularan Covid-19, keselamatan semua adalah keutamaan, kami tidak mahu mempertaruhkan kesihatan peminat.
“Saya percaya ini menjadi berita sedih buat peminat Malaysia dan seluruh dunia yang membantu menjayakan perlumbaan sehingga hari ini. Kami menyaksikan peningkatan jumlah penonton GP Malaysia pada setiap tahun dan kami berterima kasih kepada semua peminat dan rakan kongsi atas sokongan yang diberikan.
“Perkara terbaik dilakukan sekarang ini adalah terus menyokong pelumba dan pasukan negara yang masih bertanding dalam perlumbaan,” katanya dalam kenyataan berasingan oleh SIC.
GP Malaysia adalah venue paling lama di Asia Tenggara sejak 1991, menyaksikan SIC menjadi venue tetap dalam kalendar setelah berpindah dari Litar Shah Alam dan Johor pada 1999.
Litar Antarabangsa Sepang juga antara satu litar terpanjang dan mencabar dalam musim perlumbaan dan menjadi litar kegemaran dalam kalangan pelumba serta pasukan.
Litar sepanjang 5.543 kilometer turut menganjurkan pelbagai perlumbaan klasik serta menyediakan pengalaman unik kepada peminat sukan permotoran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!